fb fb fb fb fb

Liga Super : Selangor FC tundukkan Penang FC, lonjak ke tangga kelima liga

(Pemain Selangor FC, Herlison Caion De Souza Ferreira (jersi merah) diasak pemain Penang FC pada
perlawanan bola sepak Liga Super/Foto BERNAMA) 

PETALING JAYA, 17 Julai - Selangor FC mencatatkan kemenangan keempat musim ini selepas mudah menundukkan pasukan tercorot, Penang FC, 2-0 pada aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, malam tadi.

Kemenangan itu melonjakkan kedudukan skuad kendalian Michael Feichtenbeiner naik di tangga kelima, ketinggalan satu mata di belakang Terengganu FC yang menghuni tangga keempat.

Kedua-dua jaringan Selangor FC bagaimanapun hanya hadir pada pertengahan babak separuh masa kedua.

Penang FC dibimbing jurulatih baru, Zainal Abidin Hassan nyata bernasib baik selepas deretan peluang Selangor FC pada separuh masa pertama gagal diterjemahkan dengan jaringan.


(Pemain Selangor FC, Muhamad Syahid Bashah meraikan jaringannya bersama pasukan ketika
menentang pasukan Penang FC pada perlawanan bola sepak Liga Super/Foto BERNAMA) 

Enggan terus buntu di hadapan gol, Feichtenbeiner membuat percaturan memasukkan Shahrel Fikri Md Fauz dan Syahir Bashah pada separuh masa kedua.

Strategi itu nyata berkesan selepas kedua-dua pemain itu cemerlang meledak gol masing-masing pada minit ke-73 dan ke-79.

Selangor FC kini mengumpul 15 mata, ketinggalan 11 mata di belakang pendahulu, Johor Darul Takzim (JDT).

Selangor FC bakal berdepan Kuala Lumpur City FC di laman sendiri pada perlawanan akan datang.

Media Baharu