PETALING JAYA, 27 Mei - Selangor FC meraih tiga mata berharga selepas menumpaskan Negeri Sembilan FC 4-0 pada aksi Liga Super 2024/2025 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), pada Ahad.
Pada perlawanan itu, Selangor bermula garang apabila mengasak benteng pertahanan NSFC sejak minit pertama.
Ketangkasan penjaga gawang NSFC berjaya menyelamatkan beberapa serangan Selangor sehingga babak pertama sehingga terikat 0-0.
Episod malang NSFC bermula pada babak kedua apabila pemain import Selangor Ronnie Fernandez meledak jaringan pada minit ke-57.
Tidak cukup dengan itu Gergasi Merah terus mengganas apabila giliran Orozco mencipta gol pada minit ke-68 sebelum beliau sekali lagi menyempurnakan jaringan ketiga di minit ke-76.
Selangor terus menambah duka pasukan pelawat menerusi Reziq Mohammed Saleh Banihani meledak gol terakhir pada minit kecederaan.
Kemenangan itu menyaksikan Selangor menduduki tangga keempat.
Manakala NSFC jatuh di tangga tercorot tanpa sebarang mata.
Dalam pada itu, Jurulatih Negeri Sembilan, Azzmi Ab Aziz mengakui banyak perkara harus segera diperbaiki terutama dari segi taktikal.
"Kita kehilangan fokus. Kita perlu bekerja keras menjelang perlawanan pada 15 Jun di sini.
"Permainan pada separuh masa kedua sangat mengecewakan. Kita janji kita akan bangkit pada perlawanan seterusnya", katanya yang ditemui RTM selepas perlawanan.
Manakala, pengendali Selangor FC, Nidzam Jamil
ternyata gembira dengan keputusan perlawanan dan memuji prestasi keseluhuran pemainnya.
"Secara keseluruhannya, selama 90 minit permainan, saya gembira dengan persembahan para pemain. Kita tidak hilang fokus", katanya.