ALOR SETAR, 3 November- Selangor FC mengukuhkan kedudukan di tangga kedua Liga Super selepas meraih kemenangan tipis 1-0 ke atas Kedah Darul Aman (KDA FC), malam tadi.
Perlawanan dihadiri lebih 5,000 penyokong setia Hijau Kuning di Stadium Darul Aman, Alor Setar, pasukan tuan rumah mahu bangkit selepas dibelasah Sabah FC 2-5 pada aksi sebelum ini.
Bagaimana pun, usaha tuan rumah tampak kurang menjadi.
Sebaliknya, Selangor FC lebih banyak mendominasi permainan, mengasak pintu gol tuan rumah.
Serangan demi serangan memaksa penjaga gol KDA FC, Ifwat Akmal Che Kassim terpaksa bekerja keras bagi menghalang pintu golnya daripada dibolosi.
Serangan pelawat akhirnya membuahkan hasil pada awal babak kedua apabila Izwan Yuslan bijak menyudahkan hantaran rakan sepasukan pada minit ke-47.
Kedua-dua pasukan memperbaiki rentak permainan, dalam merebut peluang terhidang.
Namun, tiada tambahan gol berjaya dihasilkan.
Kedudukan 1-0 kekal hingga tamat perlawanan.
Selepas ini, Selangor bakal melayani kunjungan Negeri Sembilan manakala skuad Bos Gaurus akan membuat perhitungan dengan Sang Kenari.
Sementara itu, di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pula, menyaksikan PDRM FC terikat 1-1 menentang Perak FC.
Pasukan pelawat dilihat lebih banyak menekan PDRM di awal permainan namun tiada sebarang jaringan dihasilkan pada babak pertama.
The Cops berjaya mendahului menerusi tandukan Aremu Timothy yang menerima hantaran lintang Mohd Safiee Ahmad pada minit ke-55.
Namun, Perak berjaya bangkit untuk mengikat kedudukan menerusi sepakan percuma kapten, Luciano Guaycochea pada minit ke-67.