fb fb fb fb fb

Liga Super: Sabah FC tewas dilaman sendiri

Antara aksi perlawanan Liga Super antara Sabah FC dengan Selangor FC di Stadium Likas di sini malam tadi./ FB Malaysian Football League

KOTA KINABALU, 14 Ogos- Sabah FC gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila tewas 1-2 kepada Selangor FC dalam saingan Liga Super di Stadium Likas di sini malam tadi.

Perlawanan bermula perlahan, tanpa sebarang ancaman berbahaya yang dihadapi penjaga gol Sabah FC Khairul Fahmi Che Mat mahupun penjaga gol pasukan pelawat Samuel Somerville.

Bagaimanapun, Sabah FC membuka jaringan pada minit ke-27, apabila pemain pertahanan Selangor, Safuwan Baharudin, tertampan lorongan daripada Jefri Chew ke dalam gawang sendiri.

Selangor, di bawah kendalian Mohd Nidzam Jamil, menyamakan kedudukan minit ke-31 melalui rembatan penyerang import, Roni Fernandez, susulan kesilapan dibuat pertahanan Sabah.

Dalam babak kedua, permainan semakin sengit dengan kedua-dua pasukan saling melancarkan serangan.

Selangor akhirnya memperoleh gol kemenangan pada minit ke-86 menerusi rembatan Harith Haiqal di dalam kotak penalti, sekali gus membawa pulang tiga mata berharga.

Dalam pada itu, pengendali Sabah, Datuk Ong Kim Swee berkata, pasukannya dihukum diatas kesilapan yang dilakukan.

"Pasukan Selangor mempunyai pemain yang berkualiti dan ini menyukarkan kerja apabila beberapa pemain ditukar tidak dapat menjalankan tugas dengan begitu baik namun ini satu pengajaran buat semua pemain di mana kita tidak boleh hilang fokus terutama pada minit terakhir di mana kita dibolosi oleh sepakan sudut," katanya.

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI