ANKARA, 3 November- Liverpool menewaskan Brighton & Hove Albion 2-1 pada Sabtu untuk merampas kedudukan teratas Liga Perdana Inggeris.
Keputusan itu sekali gus menyaksikan Manchester City di tangga kedua selepas skuad The Citizen mengalami kekalahan pertama musim ini berdepan Bournemouth, 1-2.
Tirai jaringan dibuka pemain pertahanan Brighton, Ferdi Kadioglu pada minit ke-14 dan memberi kelebihan kepada pasukan pelawat .
Namun, Liverpool tidak membiarkan keselesaan pasukan pelawat yang beraksi di Anfield.
Pemain Belanda, Cody Gakpo, menyamakan kedudukan dengan rembatan kaki kanan dari jarak jauh pada minit ke-69, kemudian bintang Mesir, Mohamed Salah, mengesahkan kemenangan menerusi jaringan gol untuk The Reds tiga minit kemudian.
Dalam pada itu, Bournemouth mengejutkan juara bertahan, Manchester City dengan kemenangan 2-1 di Stadium Vitality.
Penyerang Inggeris, Antoine Semenyo, menjaringkan gol pertama pada minit ke-9, disusuli jaringan kedua oleh pemain Brazil, Evanilson, pada minit ke-64. Gol tunggal City hadir menerusi tandukan Josko Gvardiol pada minit ke-82.
Liverpool kini mengungguli carta dengan 25 mata, diikuti Manchester City dengan 23 mata.
Brighton menghuni tangga ke-7 dengan 16 mata manakala Bournemouth di kedudukan ke-8 dengan 15 mata.