fb fb fb fb fb

La Liga: Benzema meledak pada perlawanan terakhir

(FOTO AFP)

BARCELONA, 5 Jun-Penyerang legenda Real Madrid, Karim Benzema menjaringkan satu gol buat pasukannya ketika seri 1-1 menentang Athletic Bilbao.

Benzema yang mengesahkan bakal meninggalkan Real Madrid selepas bersama pasukan berkenaan selama 14 tahun menyempurnakan penalti bagi menyamakan kedudukan buat pasukannya.

Dia kemudiannya digantikan dan menerima tepukan gemuruh dan penuh emosi daripada para peminat.

Keputusan seri menyaksikan Real Madrid menduduki tangga kedua liga mengatasi Atletico Madrid selepas anak didik Diego Simeone itu hanya mampu terikat 2-2 ketika menentang Villarreal.

Jurulatih Real Madrid,Carlo Ancelotti menyifatkan pemergian Benzema sebagai sesuatu yang mengejutkannya.

" Saya telah bercakap dengan Benzema berkaitan perkara tersebut.

"Dia memberitahu saya bahawa dia ingin pergi.

"Saya beritahu Benzema, saya sangat menghormati keputusannya itu", kata Ancelotti.

Pada perlawanan yang berlangsung di Santiago Bernabeu itu, Real Madrid dikejutkan denga gol pendahuluan daripada pasukan pelawat pada minit ke-49 melalui jaringan Oihan Sancet.

Real Madrid menyamakan kedudukan menerusi Benzema pada minit ke-72.

Jaringan tersebut merupakan gol 354 sepanjang kariernya bersama Real Madrid selepas menyertai pasukan berkenaan dari Lyon pada 2009.

Sementara itu,kelab Real Valladolid tersingkir daripada La Liga selepas seri 0-0 dengan Getafe sementara lima pasukan yang berada di zon penyingkiran berjaya menarik nafas lega selepas menang pada perlawanan masing-masing.

Penjaga gol Valladolid, Jordi Masip berkata pasukannya telah mencuba bagi memenangi perlawanan tetapi masih gagal.

"Seluruh pasukan telah mencuba, namun kami masih gagal untuk menang.

"Sesuatu yang memalukan seluruh pasukan , para peminat", kata Masip.-AFP


(FOTO AFP)

Media Baharu