fb fb fb fb fb

Kerajaan negeri bantu pemain dan pegawai Perak FC sambut Aidilfitri

IPOH, 27 April - Kerajaan negeri Perak menyalurkan sumbangan wang tunai kepada 50 orang pemain dan pegawai pasukan utama Perak FC bersempena dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri akan datang.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kesemua mereka menerima wang tunai bernilai RM1,000 setiap seorang untuk perbelanjaan kelengkapan Syawal.

"Kita menyumbang sedikit duit raya kepada 50 orang termasuk pegawai dan pemain Perak FC, itu sumbangan duit raya sahaja," kata beliau selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Asas Built-To-Suit and Lease (BTSL) antara Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) dan Jinjing Silicon Technology Sdn Bhd, di sini.


(Pasukan Perak FC/Foto fail)

Mengulas lanjut mengenai situasi pasukan berkenaan, beliau tidak menghalang hasrat Persatuan Penyokong Bola Sepak Perak (TBG Mobs) yang dilaporkan mahu mengutip tanda tangan penyokong Perak untuk dihantar ke pejabat istana.

"Saya tidak boleh menghalang penyokong-penyokong bola sepak untuk berbuat demikian cuma kena ikut saluran yang betul, Insya-Allah kalau warkah tersebut sampai ke Tuanku Sultan Perak, kebiasaannya Baginda akan baca dan beri perhatian sewajarnya," menurut beliau.

Sebelum ini Setiausaha TBG Mobs, Mohd Hakimi Abdul Halim dilaporkan berkata pihaknya ingin mendapatkan tandatangan penyokong untuk diserahkan kepada Sultan Nazrin Shah bagi menarik perhatian baginda tentang nasib yang menimpa bola sepak Perak ketika ini.

Media Baharu