KUALA LUMPUR, 6 April - Moratorium jangka pendek telah dikeluarkan untuk menghalang sebarang pemasangan struktur pentas di padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).
Keputusan itu diambil, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh hasil daripada 'post-mortem' perbincangan keadaan padang semasa perlawanan antara Malaysia dan Oman bagi Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027.
Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Datuk Seri Windsor John pada 1 April lalu.
"Moratorium itu berkuat kuasa sehingga kondisi rumput mencapai tahap yang baik.
"Perkara ini sudah dimaklumkan kepada penganjur konsert pada sesi dialog antara Menteri dan penganjur konsert semalam. Dialog itu turut membincangkan langkah yang boleh diambil oleh PSM untuk menyediakan fasiliti yang lebih sempurna.
"Penganjur masih boleh membuat tempahan, namun sebarang struktur pentas dan menara bunyi adalah dilarang di atas padang," jelas PSM menerusi kenyataan hari ini.
Keputusan itu merupakan langkah SNBJ untuk memastikan rumput berada dalam keadaan yang optimum bagi perlawanan yang akan datang.