fb fb fb fb fb

JDT mara ke final Piala FA, belasah Penang FC 6-1

ISKANDAR PUTERI, 6 Ogos- Kelab Johor Darul Takzim (JDT) mengesahkan tiket ke final Piala FA musim ini selepas membelasah Penang FC, 6-1 di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi.

Hatrik pemain muda, Arif Aiman memastikan Harimau Selatan mara ke final, selepas kali terakhir melakukannya pada 2016.

JDT menepati ramalan selaku pasukan pilihan, apabila menguasai perlawanan sejak wisel permulaan, manakala Penang FC lebih banyak bertahan dan mengharapkan serangan balas.

Gol pertama tuan rumah muncul pada minit ke-19 menerusi Bergson Da Silva, menewaskan Hafizul Hakim sebelum Fernando Forestieri mencetak gol kedua JDT.

Tiga minit babak kedua bersambung, Arif Aiman yang menerima hantaran Forestieri, meledak rembatan untuk gol ketiga.

Pemain kebangsaan itu sekali lagi muncul penjaring, pada minit ke-51 , melalui rembatan padu, menewaskan Hafizul buat kali ke-4.

Jaringan saguhati pelawat dihasilkan Lucas Silva menerusi tandukan menewaskan Farizal Marlias, pada minit ke-54.

Hatrik Arif Aiman muncul pada minit ke-61, selepas menerima hantaran daripada Bergson Da Silva untuk JDT selesa dengan 5-1.

Memasuki masa tambahan, giliran Syahmi Safari pula melengkapkan pesta gol Harimau Selatan dengan gol ke-6.

(Pemain JDT, Arif Aiman diasak ketika beraksi di Stadium Sultan Ibrahim)

Ketua Jurulatih JDT, Hector Bidoglio ternyata berpuas hati dengan persembahan anak buahnya terutama barisan serangan yang menghimpun 11 gol daripada 2 perlawanan sejak dilantik.

"Saya sangat gembira kami JDT berjaya mara ke final.

Sudah tentu saya mahu berterima kasih kepada Tunku Mahkota Johor yang memberi peluang dan kepercayaan untuk saya ke sini dan tahniah kepada pemain kerana berjaya ke final," katanya selepas tamat perlawanan.

Menanti JDT di final bergantung kepada keputusan aksi antara Terengganu FC dan Selangor FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu.

Media Baharu