fb fb fb fb fb

JDT benam Sahnghai Shenhua 3-0

Foto Facebook Johor Southern Tigers

ISKANDAR PUTERI, 2 Oktober- Johor Darul Takzim (JDT) menundukkan Shanghai Shenhua, 3-0, dalam perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, malam tadi.

Kemenangan itu menghadiahkan skuad Harimau Selatan tiga mata berharga, dalam saingan liga berformat baharu itu.

Gol pertama JDT dijaringkan seawal minit ke-10, oleh Arif Aiman, selepas menggelecek pemain Shanghai Shenhua di hadapan gawang gol lawan.

Sementara itu pemain import JDT, Jeorge Leonardo menambah gol tuan rumah, hasil tandukan berbisa pada minit ke-26.

Aksi pada separuh masa kedua menyaksikan kedua-dua pasukan menunjukkan aksi agresif, dengan suasana tegang antara JDT dan Shanghai Shenhua.

Pasukan tembok besar itu kemudian menghadiahkan sepakan percuma kepada JDT, yang berjaya disempurnakan Juan Muniz pada minit ke-79.

Keputusan kekal hingga wisel penamat, memberikan kemenangan kepada JDT, 3-0 di hadapan 31,386 penonton.

Ketua Jurulatih JDT, Hector Bidoglio berkata, beliau sangat gembira dengan prestasi anak-anak buahnya bermain secara baik, pada kedua-dua bahagian serangan dan pertahanan.

"Saya sangat gembira, kerana pemain memberi persembahan sangat baik, sepanjang perlawanan, sehingga ke saat akhir.

"Hari ini JDT bermain sebagai satu pasukan, di bahagian pertahanan dan serangan kedua-duanya pun bagus. Permainan dapat dikawal dan dapat mencari ruang," katanya kepada pemberita di sini.

Penyerang JDT Arif Aiman berkata, Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail sering memberikan nasihat dan semangat.

"Sebelum ini saya mengalami kecederaan, prestasi sedikit terganggu tetapi Tunku Mahkota Ismail sentiasa menasihatkan saya.

"Jurulatih pasukan juga memberikan saya semangat supaya bermain dengan betul-betul dan buat yang terbaik dalam perlawanan," katanya.

Ketua Jurulatih Shanghai Shenhua pula menyifatkan pemain pada perlawanan tersebut memberikan banyak ruang kepada pasukan tuan rumah.

" Secara sistematik permainan kami tidak bergitu bagus. Reaksi yang dipamerkan pemain kami selalu lambat kira-kira satu hingga dua saat.

"Sudah tentu kami memberikan ruang kepada lawan kami dan juga pemain nombor 42 hari ini membuktikan tahap permainan dia. Kami tahu dia sangat berbakat," katanya.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI