ISKANDAR PUTERI, 6 Februari- Johor Darul Takzim (JDT) menundukkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) FC, 4-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim di sini malam tadi.
Kemenangan itu memberikan jumlah 55 mata kepada JDT dan skuad itu memerlukan satu lagi kemenangan untuk menjuarai Liga Super Malaysia 2024/2025.
Gol pertama JDT dijaringkan Jorge Leonardo seawal minit ke-14, sebelum pertahanan JDT, Corbin Ong, menyempurnakan sepakan sudut Juan Muniz pada minit-ke 38.
Selang separuh masa kedua, penyerang JDT Jese Rodriguez, menyumbang gol ketiga, selepas menyudahkan hantaran Park Junheong pada minit ke-54.
Romel Oswaldo menjaringkan gol terakhir untuk malam itu pada minit ke-80, dan keputusan kekal sehingga Fusser Mad Sallih meniup wisel penamat.
Ketua Jurulatih JDT, Hector Bidoglio melihat, posisi yang baik dan pembawaan bola, menjadi faktor yang memberikan kemenangan kepada JDT.
Beliau juga gembira dengan Jese Rodriguez, yang menunjukan prestasi baik sepanjang perlawanan.
"Persembahan Jese bertambah baik bersama kami, hari ini dia bermain dengan baik khususnya pada babak kedua di bahagian kanan.
"Dia juga jaringkan gol, saya boleh lihat kualiti yang ada pada Jese. Jese berpengalaman, dan saya bangga kerana dia telah bekerja dengan keras, dalam perlawanan itu," katanya.
Sementara itu Ketua Jurulatih PDRM FC, P. Maniam menyifatkan, para pemain beliau bertahan dengan baik pada separuh masa pertama, namun terlalu memberi ruang kepada JDT pada babak kedua, sehingga kalah besar.
"Perlawana pada malam ini terpaksa dilupakan, saya fikir lebih mustahak untuk fokus pada perlawanan seterusnya.
"4-0 itu terlalu banyak, tetapi sebagai jurulatih saya perlu memberikan motivasi dan semangat kepada pemain untuk terus tampil cemerlang pada perlawanan seterusnya," katanya.
Dalam pada itu bagi saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE), Hector optimis dengan pengalaman dimiliki tiga pemain baharu JDT, iaitu Alvaro Gonzalez, Roque Mesa, dan Jonathan Viera.
Pengalaman itu dapat membantu JDT untuk menentang Central Coast Mariners, pada 11 Februari ini, meskipun mempunyai tempoh masa singkat untuk persiapan.
Pasukan dari Australia itu dilihat sebagai pasukan yang kuat, didorong stamina pemain yang kebanyakannya berusia muda.
Untuk itu, JDT perlu menambah baik dari segi pertahanan dan serangan, selain bermain secara kompak, pada perlawanan yang akan berlangsung di Australia itu nanti.