fb fb fb fb fb

Insentif cukai baharu lonjak pembangunan industri sukan - Hannah Yeoh

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh/FOTO RTM

CYBERJAYA, 12 Oktober - Pelaksanaan insentif cukai baharu akan menjadi pemangkin utama dalam memperkasa industri sukan negara.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata ia juga mendorong rakyat Malaysia menjadikan aktiviti sukan sebagai gaya hidup.

"Yang saya nak bukan saja ad-hoc tetapi ini jadi gaya hidup kerana kerajaan sudah menyediakan insentif cukai untuk mendorong rakyat Malaysia bersukan.

"Khasnya dalam kategori latihan sukan, peralatan sukan, yuran untuk masuk pertandingan, semua ini akan mula mendorong aktiviti sukan berjalan dan industri sukan akan berkembang", katanya ketika ditemui selepas acara larian Lazada Run di sini, hari ini.

Dalam pada itu, selaras dengan pengumuman Perdana Menteri, Hannah berkata syarikat aktiviti kesenian, kebudayaan, pelancongan serta pertandingan sukan dan rekreasi bertaraf antarabangsa yang melibatkan peserta asing diberi pengecualian cukai pendapatan sebanyak 50 peratus ke atas pendapatan berkanun.

Sementara itu, syarikat swasta kini layak menikmati pengecualian cukai pendapatan sepenuhnya (100 peratus) apabila menyalurkan sumbangan kepada Kumpulan Wang Amanah Sukan Negara (KWASN).

Jelas Hannah, KWASN diwujudkan bagi membantu atlet dan pasukan negara yang memerlukan sokongan tambahan untuk tujuan latihan serta penyertaan di kejohanan antarabangsa.

"Kalau syarikat beri sumbangan kepada Tabung KWASN, mereka layak untuk 100 peratus pengecualian cukai pendapatan.

"Sumbangan ini kita guna untuk bantu atlet yang mahu ke luar negara atau perlukan dana latihan tambahan,"

Bagaimanapun, beliau  menegaskan sumbangan kepada KWASN tidak dianggap sebagai penajaan rasmi kepada mana-mana sukan atau pasukan tertentu, sebaliknya dana tersebut diagihkan bagi menyokong pembangunan sukan negara secara menyeluruh.

KWASN merupakan tabung amanah yang dibuka kepada umum dan bertujuan untuk menyediakan geran menganjurkan aktiviti sukan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa di luar negara khususnya membantuk menaikkan kedudukan ranking atlet negara.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD