fb fb fb fb fb

Hampir 300 pelajar sertai Klinik Bolasepak Mega Pulau Pinang Bersama Faisal Halim

Foto Akademi Bolasepak Wira Muda

SUNGAI BAKAP, 6 Julai- Hampir 300 pelajar berusia tujuh hingga 12 tahun menyertai Klinik Bolasepak Mega Pulau Pinang Bersama Faisal Halim.

Program secara percuma itu bertujuan untuk bersolidariti ke atas Faisal, di samping melahirkan pelapis bola sepak yang baharu.

Presidennya, Ammar Muhamad Pauzi berkata hampir 2,000 pengunjung hadir memeriahkan program berkenaan.

Pengunjung turut berpeluang menyaksikan perlawanan persahabatan antara pasukan Faisal, diwakili Faiz Subri menentang Pasukan Pejabat Perdana Menteri yang diwakili Shahrul Idlan atau Mat Yo.

"Pertama sekali kita raikan Faisal sebab dia dari Pulau Pinang, jadi hari ini apa salahnya kita buat klinik.. Faisal sendiri sebenarnya jurulatih kelab Faisal Halim.

"…Dia (Faisal) bila setiap minggu dia cuti, dia akan melatih sendiri, dia cuti dia melatih orang kampung secara percuma.

"Jadi hari ini permintaan dari Faisal, juga dengan keluarga Faisal, Abang Halim (bapa Faisal) pun ada kita berlatih bersama-sama dengan jurulatih-jurulatih yang pernah mengajar Faisal.

"Ramai jurulatih yang datang hari ini, kebanyakannya yang ada 'in touch' (berhubung) dengan Faisal, Alhamdulillah," katanya kepada pemberita di sini.

Bapa Faisal, Abdul Halim Saad, turut menyatakan rasa kesyukuran yang tidak terhingga atas komitmen, program dan solidariti yang ditunjukkan rakyat Malaysia khususnya rakyat Pulau Pinang terhadap anaknya itu.

"Alhamdulillah bersyukur sangat-sangat ke hadrat Allah SWT dan kepada semua pihak Pulau Pinang yang sudi bersolidariti dengan Faisal, seluruh rakyat Malaysia yang menyokong penuh Faisal.

"Sekarang ini dia dah 99 peratus sembuh dan dia pun telah mula menjalani latihan, dah tiga hari dah ..dan daripada segi kesihatan dia, alhamdulillah cukup baik," kata Abdul Halim.

Sementara itu, peserta yang menyertai klinik bola sepak itu melahirkan rasa kegembiraan, selain mendapat ilmu baharu dalam menguasai permainan bola sepak.

"Saya rasa sangat seronok untuk masuk dalam klinik ini. Saya rasa sangat tenang dan sangat sangat gembira untuk terlibat klinik bola sepak ini," kata peserta, Muhammad Faarhan Asrikin Tajul Asrikin. 

"Saya sangat bahagia dan saya dapat jumpa Faiz Subri, ayah Faisal dengat Mat Yo. Saya dapat dapat meningkatkan permainan saya, 'control' (kawal) bola dengan lebih bagus daripada dulu," kata peserta, Muhammad Aqil Haziq Mohammad Fitri.

"Belajar main teknik teknik bola yang baru yang saya tak belajar lagi kat rumah. Gembira. Saya rasa macam bangga sebab saya boleh main bola walaupun saya perempuan," kata peserta, Nir Izzara Aisyah Ahmad Khairil Azry.

Program yang diadakan di Padang Akademi Kecemerlangan MARA, Sungai Jawi itu turut dihadiri Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM