KOTA BHARU, 23 September- Pelari 400 meter (m) lari berpagar Kelantan, Muhammad Fakrul Afizul Nasir yang mencipta sejarah sebagai atlet pertama memecahkan rekod kebangsaan dalam sukan olahraga pada Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 bulan lalu berazam untuk meraih kejayaan di Sukan SEA Thailand 2025.
Muhammad Fakrul berkongsi dirinya kini sedang giat berlatih untuk kelayakan mewakili Malaysia dalam Sukan SEA dan berharap dapat membawa pulang pingat pada temasya itu.
"Buat masa sekarang, saya belum layak secara merit untuk Sukan SEA. Jika ada kejohanan yang terdekat, saya akan cuba untuk kelayakan," katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menerima insentif yang disampaikan oleh Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nasuruddin Daud pada Majlis Penyampaian Insentif SUKMA Sarawak 2024 di sini hari ini.
Insentif itu, katanya, akan memotivasikan beliau untuk terus berusaha cemerlang dalam kejohanan akan datang.
Pada SUKMA Sarawak 2024, Muhammad Fakrul mencatat masa terpantas 51.11 saat, memenangi pingat emas dan memperbaharui rekod kebangsaan miliknya (51.26 saat) yang dicatat di Kejohanan Olahraga Bawah 20 Tahun Asia 2023 di Korea Selatan dan pingat gangsa pada SUKMA Kuala Lumpur 2022.