fb fb fb fb fb

EPL: Liverpool, Arsenal teruskan pemburuan takhta

Foto REUTERS

LIVERPOOL, 26 Januari-Liverpool dan Arsenal terus bersaing untuk merebut gelaran Liga Perdana dengan kemenangan ke atas lawan masing-masing pada Sabtu.

Namun, cabaran Nottingham Forest tergugat apabila dibelasah 5-0 oleh Bournemouth.

Liverpool mencatatkan kemenangan 4-1 ke atas Ipswich Town, sementara Arsenal mengatasi Wolverhampton Wanderers 1-0 meskipun bermain dengan 10 pemain selepas pemain pertahanan Myles Lewis-Skelly dilayangkan kad merah.

Liverpool memulakan perlawanan dengan bertenaga di Anfield, dengan Cody Gakpo menjaringkan satu gol dan mencipta satu hantaran untuk Mohamed Salah untuk membawa pasukannya mendahului 3-0 pada waktu rehat.

Gakpo menambah gol kedua pada minit ke-66.

Ipswich memperolehi gol sagu hati menerusi Jacob Greaves.

"Semua orang dalam prestasi yang baik tetapi kami perlu terus berusaha," kata Gakpo kepada BBC.

Sementara itu, Arsenal terpaksa berhempas-pulas untuk meraih kemenangan selepas Lewis-Skelly dilayangkan kad merah pada separuh masa pertama ketika Wolves, namun pemain gantian Riccardo Calafiori menjaringkan gol kemenangan dengan separuh voli yang hebat pada minit ke-74.

"Ia jelas bukan kad merah. Saya nampak dia (Lewis-Skelly) pada waktu rehat dan dia sangat kecewa untuk pasukan, tetapi akhirnya kami menang, jadi tiada apa yang berlaku," kata Calafiori kepada Sky Sports.

Dalam pada itu, Nottingham Forest menerima banyak pujian sepanjang kempen musim ini tanpa kalah lapan perlawanan mereka dalam liga, tetapi ia berakhir apabila tewas 5-0 kepada Bournemouth, dengan Dango Ouattara menjaringkan hatrik untuk kemenangan 5-0 buat pasukan Andoni Iraola.

Rekod tanpa kalah Bournemouth selama 11 perlawanan melonjakkan pasukan berkenaan ke tempat ketujuh dalam carta dengan 40 mata, empat mata di belakang Forest.

"Ia sentiasa sukar apabila anda berada dalam Liga Perdana, anda berhadapan dengan pasukan terbaik di negara ini.

"Pemain-pemain memberi segala-galanya dan mereka mendapat keputusan yang baik," kata Iraola kepada BBC.

"Akan ada masa apabila kami tidak dapat melakukannya, (tetapi) saya rasa penyokong memahami ini dan mereka menikmati bukan hanya apabila kami menang, tetapi apa yang mereka minta adalah kami memberi segala-galanya, dan itu yang kami cuba lakukan," tambahnya.-REUTERS.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD