MANCHESTER, 23 Julai-Pengurus Manchester City, Pep Guardiola meredakan sedikit kehangatan susulan laporan yang mengaitkan perpindahan bintang City dan Belgium, Kevin De Bruyne dengan Liga ProSaudi.
Di sebalik kontraknya yang bakal berakhir pada 2025, De Bryune berkata dia tidak akan meninggalkan Manchester City, dan Pep Guardiola percaya tiada rombakan besar-besaran akan dilakukan terhadap skuad berkenaan sebelum berakhirnya jendela perpindahan pada penghujung Ogos.
"Kevin tidak akan ke mana-mana.
"Saya gembira dengan skuad yang sama bertahun-tahun sebelum ini.Kita berjaya menghasilkan impak di pasaran pemain setiap tahun.
"Saya berasa selesa dengan kualiti skuad yang ada dan sukar untuk dicari ganti", kata Guardiola pada sidang media di North Carolina State University pada Isnin sejurus sebelum perlawanan Jelajah Amerika Syarikat menentang Celtic.
Minggu lalu, Manchester City telah menandatangani pemain sayap Brazil, Savinho yang berusia 20 tahun dan Guardiola turut mengesahkan Kevin Phillips yang dipinjamkan ke West Ham United telah pun mula berlatih dengan pasukan utama.
"Savinho mampu bermain di bahagian sayap dan boleh berdepan satu lawan satu dengan pihak lawan", tambah pengendali berbangsa Sepanyol.
"Dia sangat muda dan pasukan memerlukan dua atau tiga pemain muda bagi menyegarkan pasukan. Ia adalah sesuatu yang penting, namun, kita tidak boleh menukar keseluruhan pemain. Ia adalah sesuatu yang mustahil dan merosakkan keseimbangan pasukan", ujar Guardiola lagi.
Manchester City akan memulakan misi mempertahankan kejuaraan Liga Perdana dengan menentang Chelsea pada 18 Ogos.-REUTERS