fb fb fb fb fb

Cabaran Muaythai Amatur Bintulu Siri ke-2, Disember depan dapat sambutan hangat

Presiden PMNS, Jumaat Ibrahim (kanan) pada Majlis Makan Malam Bersama Pengamal Media di Bintulu / FOTO RTM

BINTULU, 29 Ogos- Bintulu bakal menjadi tumpuan peminat sukan tempur pada 6 hingga 7 Disember 2024 apabila Cabaran Muaythai Amatur Bintulu (BMAC) Siri ke-2 diadakan.

Acara dianjurkan oleh Persatuan Muaythai Negeri Sarawak (PMNS) dengan kerjasama Persatuan Muaythai Bahagian Bintulu menyaksikan lebih ramai peserta bertanding dalam pelbagai kategori mengikut berat badan dan umur dari seluruh negeri Sarawak.

Presiden PMNS, Jumaat Ibrahim, semasa Majlis Makan Malam Bersama Pengamal Media di Bintulu malam tadi, berkata siri kedua kejohanan dianjurkan berikutan sambutan hebat yang diterima semasa edisi pertama.

"Penyertaan yang menggalakkan daripada edisi pertama, menyaksikan siri kedua ini dijangka akan lebih meriah dengan penyertaan yang lebih besar dari seluruh negeri Sarawak. Para peserta akan bertanding dalam pelbagai kategori mengikut berat badan dan umur, menjadikan acara ini sebagai platform penting untuk mencungkil bakat baharu," katanya.

Acara tersebut juga mendapat sokongan penuh daripada Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS), dan Persatuan Muaythai Malaysia (PMM).

Peminat sukan tempur di seluruh negeri dijemput untuk hadir menyaksikan perlawanan sengit dan memberikan sokongan kepada atlet-atlet tempatan yang bertanding.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE