fb fb fb fb fb

Beregu boling wanita raih gangsa di Kejohanan Dunia 2022 Alabama

(Natasha-Li Jane mengatasi cabaran sengit pasangan Colombia, Juliana Franco-Clara Guerrero
dengan kemenangan 2-0 di Kompleks Konvensyen Birmingham Jefferson.)

ALABAMA, 12 Julai- Natasha Mohamed Roslan dan Sin Li Jane memastikan kem boling negara tidak pulang dengan tangan kosong apabila meraih pingat gangsa dalam acara beregu wanita di Kejohanan Dunia 2022 di Alabama, Amerika Syarikat, hari ini.

Menurut laman web World Games 2022, Natasha-Li Jane mengatasi cabaran sengit pasangan Colombia, Juliana Franco-Clara Guerrero dengan kemenangan 2-0 di Kompleks Konvensyen Birmingham Jefferson.

Kemenangan itu juga membolehkan Li Jane melunaskan dendam terhadap Guerrero selepas tewas pada pusingan 16 terakhir perlawanan perseorangan wanita sebelum ini.

Terdahulu, Natasha-Li Jane terlepas peluang merebut pingat emas selepas tewas kepada lawan dari Denmark di separuh akhir semalam.

Mereka memulakan kempen dengan menyingkirkan pasangan Puerto Rico 2-0 di pusingan 16 terakhir dan mengenepikan beregu Belanda juga 2-0 pada suku akhir.

(Beregu boling wanita negara berpuasa hati meraih gangsa, setelah 13 tahun negara kemarau pingat di kejohanan dunia)

Penampilan terbaik kem boling negara di Kejohanan Dunia adalah pada edisi 1997 di Finland, dengan Sharon Low-Daniel Lim merangkul emas acara beregu campuran.

Sementara itu Sin Li Jane mengakui kejayaan meraih pingat gangsa itu akan menjadi memori terindah buat dirinya dan rakan gandingan, Natasha Roslan.

Ini kerana ia adalah pingat pertama yang berjaya dimenangi Malaysia dalam tempoh 13 tahun.

"Kami amat berbangga menjadi wakil Malaysia ke Kejohanan Dunia 2022 di Alabama, dan kami cukup gembira memenangi pingat gangsa pada hari ini,

"Saya percaya ini pingat pertama selepas negara meraihnya pada 2009, dan ini merupakan kejayaan terbaik kami merangkul pingat gangsa setelah sekian lama," katanya.

Sebelum ini, kali terakhir Malaysia memenangi pingat di kejohanan dunia adalah menerusi pencapaian dua gangsa sewaktu edisi di Kaohsiung, Taiwan pada 2009.

Media Baharu