SURABAYA, 29 Jun - Pengorbanan menangguhkan pelajaran demi persiapan ke temasya Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2024 membuahkan hasil buat atlet judo wanita negara, Siti Roha Miszuraini apabila berjaya merangkul pingat perak bagi acara atas 78 kilogram (kg).
Pelajar Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Ekonomi itu melahirkan rasa syukur, meskipun impiannya untuk meraih emas tidak tercapai.
"Alhamdulillah AUG pertama, saya dapat perak, insya-Allah AUG yang akan datang saya akan cuba sehabis baik untuk mendapatkan emas, rasa berbaloi sangat, latihan bersama rakan setiap hari membuahkan hasil," katanya.
Atlet kelahiran Johor itu menundukkan lawannya dari Indonesia, Ike Faradibah Nurjannah pada aksi penentuan tempat kedua dan ketiga di Pusat Konvensyen Universiti Airlangga.
Terdahulu, Siti Roha ditewaskan wakil tuan rumah, Indah Permatasari dengan kiraan satu Ippon pada aksi awal yang membuatkannya berpuas hati dengan pingat perak.
Keputusan itu menyaksikan skuad judo negara memungut tiga emas, dua perak dan satu gangsa secara keseluruhan dalam acara individu.