fb fb fb fb fb

Atlet negara perlu ada kemahiran lain elak jadi penganggur lepas bersara

(Kanan) Firdaus Abd Razak, bekas atlet angkat berat kebangsaan dan Syarif Hidayat, bekas atlet pelapis olahraga kebangsaan (kiri)

JITRA, 17 November - Bekas atlet angkat berat kebangsaan, Firdaus Abd Razak mencadangkan agar Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negara (MSN) bekerjasama dengan institusi kemahiran bagi membolehkan para atlet mendapat Sijil Kemahiran sebagai persiapan selepas bersara.

Katanya, atlet negara termasuk pemain bola sepak perlu merancang kerjaya yang lebih terjamin tanpa menunggu waktu ketika bersara atau tidak lagi aktif dalam bersukan.

Ini bagi mengelakkan mereka menjadi pengganggur atau hilang sumber pendapatan yang tidak menjejaskan kehidupan kehidupan mereka pada masa akan datang.

"Kerjaya sebagai atlet sukan mempunyai tempoh masa tertentu dan sampai ke penghujungnya apabila usia sudah mencecah 30-an atau awal 40-an.

"Sebab tu mereka perlu melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu dan kemahiran yang baharu sebagai persediaan memasuki alam pekerjaan yang lain," katanya kepada RTM baru-baru ini.

Firdaus kini bergelar kontraktor binaan menyarankan agar atlet negara mengikuti latihan kemahiran di Pendikikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Ini kerana beliau berpendapat, graduan yang mengikuti kursus TVET berjaya menempatkan diri dalam bidang pekerjaan.

"Kita boleh wujudkan peluang pekerjaan secara professional sebagai contoh mereka yang mempunyai kepakaran dalam bidang penghawa dingin.

"Buat satu kelas (kursus), buat satu modul untuk atlet dalam masa yang singkat tapi membuahkan hasil selepas tamat pembelajaran.

"Tamat pencen (sukan) terus ada sijil dan pengalaman serta boleh menceburi dalam bidang yang beliau minat dan buka syarikat atau bekerja. Apa yang paling penting adalah beliau boleh berdikari selepas tamatnya kerjaya sebagai atlet," tambahnya.

Sementara itu,bekas atlet pelapis olahraga kebangsaan, Syarif Hidayat berkata, banyak peluang dan ruang disediakan oleh pelbagai pihak ketika ini.

Beliau menekankan agar tiada ahli sukan yang merempat di bumi sendiri susulan tiada peluang pekerjaan selepas mereka tidak lagi aktif dalam dunia sukan.

GRACE AISYAH KEDAYAN