fb fb fb fb fb

Arne Slot pilih untuk kekalkan pemain utama berbanding pembelian baharu

Foto AFP

LIVERPOOL, 18 April- Pengurus Liverpool, Arne Slot menegaskan mahu mengekalkan skuad sedia ada yang kini sedang mendominasi Liga Perdana Inggeris, berbanding membawa masuk pemain baharu dalam jumlah besar.

Slot berkata demikian selepas dua tonggak utama pasukan, Mohamed Salah dan Virgil van Dijk, menandatangani kontrak baharu untuk kekal di Anfield.

Dalam pada itu, laporan menyebut Trent Alexander-Arnold berkemungkinan besar menyertai Real Madrid secara perpindahan percuma apabila kontraknya tamat hujung musim ini.

Van Dijk sebelum ini menyatakan beliau menjangkakan "musim panas yang besar" dalam jendela perpindahan akan datang.

Namun, Slot, yang hanya membawa masuk Federico Chiesa musim ini, itupun hanya digunakan secara berperingkat-tidak merasakan keperluan mendesak untuk rombakan besar-besaran.

"Kalau kita berjaya mengekalkan pasukan yang ada, itu pun sudah dikira satu musim panas yang besar.

Kualiti pasukan ini cukup tinggi dan kita telah menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang musim," kata Slot kepada media pada Jumaat.

Slot menekankan bahawa mengekalkan "teras utama" pasukan adalah keutamaan selagi mereka terus beraksi cemerlang, walaupun beliau tidak menolak kemungkinan membawa masuk satu atau dua muka baharu bagi menyuntik tenaga segar.

Liverpool kini berada 13 mata di hadapan di puncak liga dan boleh mengesahkan kejuaraan seawal Ahad ini, sekiranya mereka menang ke atas Leicester dan Arsenal tewas kepada Ipswich.

Alexander-Arnold, yang kembali ke latihan selepas pulih daripada kecederaan buku lali, dijangka tersenarai dalam perlawanan penting itu.

Slot turut memuji kualiti luar biasa pemain itu dan tidak menolak kemungkinan mengekalkannya di Anfield.

"Dia menunjukkan semangat yang tinggi untuk membantu pasukan capai sasaran musim ini. Semua peminat tahu betapa hebatnya dia sebagai bek kanan.

"Kita tunggu dan lihat apa yang akan berlaku pada masa depan," kata Slot.- AFP

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM