fb fb fb fb fb

Akta Pembangunan Sukan bakal dipinda, masuk elemen antidoping dan integriti

Ketua Setiausaha KBS, Datuk Dr. Nagulendran Kangayatkarasu /Foto RTM

LABUAN, 29 Oktober - Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576) bakal dipinda bagi memasukkan peruntukan baharu berkaitan antidoping dan integriti sukan.

Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Datuk Dr. Nagulendran Kangayatkarasu berkata, pindaan itu dijangka dibentangkan tahun depan.

Tujuannya bagi memperkukuh tadbir urus sukan negara dan menangani isu rasuah, pengaturan perlawanan serta pelanggaran integriti lain dalam sukan.

“Matlamat utama pindaan ini adalah untuk mengawal selia antidoping dan memastikan integriti sukan dipelihara, sekali gus memperkukuh tadbir urus sukan negara,” katanya selepas merasmikan Simposium Integriti Sukan dan Antidoping ASEAN 2025 di sini, bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.

Datuk Nagulendran menegaskan pindaan itu mencerminkan komitmen serius Malaysia untuk mengekalkan persekitaran sukan yang telus, beretika dan bebas daripada bahan terlarang.

Beliau turut mengingatkan atlet supaya berhati-hati terhadap pengambilan ubat tradisional atau produk tenaga yang berpotensi mengandungi bahan terlarang.

“Atlet perlu berwaspada, pengambilan bahan terlarang boleh menyebabkan hilang kelayakan atau digantung seumur hidup,” katanya.

Simposium tersebut disertai lebih 100 peserta dari 14 negara termasuk Jepun, Korea Selatan, Indonesia, Thailand dan Australia.

Program itu menjadi platform penting bagi memperkukuh kerjasama serantau dalam pendidikan, kesedaran serta pelaksanaan piawaian antarabangsa antidoping dan integriti sukan.

KBS turut komited memperkukuh inisiatif sukan selamat dengan mengekang aktiviti tidak bermoral seperti gangguan seksual, merokok dan penggunaan vape di premis sukan, serta menyediakan saluran aduan untuk atlet menyuarakan kebimbangan mereka.

MUHAMMAD 'AZAMUDDIN HUSSAIN