KUALA LUMPUR, 16 Januari- Pemain sayap Muhammad Akhyar Abdul Rashid kini sah jadi milik kelab Terengganu FC (TFC).
Beliau menandatangani kontrak selama dua tahun bersama kelab tersebut.
Berita itu dikongsikan pihak pengurusan Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB) menerusi laman sosial Facebook rasmi TFC, pada Rabu.
Ketua Pegawai Eksekutif TFCSB, Mohd Sabri Abas berkata Akhyar yang sebelum ini merupakan pemain pinjaman daripada Johor Darul Ta'zim (JDT) telah memeterai kontrak sebagai pemain tetap bagi tempoh sehingga musim 2026/2027.
Dengan pengumuman itu, pemain berusia 26 tahun berkenaan bakal beraksi menentang JDT pada saingan akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Jumaat ini.
Menerusi laman web TFC, pihak kelab telah melakukan permohonan secara rasmi untuk menandatangani Akhyar secara tetap dari kelab JDT.
Permohonan tersebut telah diperkenan Tunku Mahkota Johor, DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim dan bersetuju untuk melepaskan Akhyar, khas untuk kelab TFC.
"Pemain ini boleh beraksi bersama Terengganu FC sebagai pemain tetap. Pihak kelab mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas keputusan ini.
Diharapkan kehadiran Akhyar ini, terus mampu meningkatkan lagi kualiti pasukan ini untuk baki musim ini dan musim-musim akan datang," kata artikel itu.
Jelas artikel itu lagi, keputusan yang dilakukan untuk melepaskan beliau untuk bersama TFC secara tetap, dilihat sebagai salah satu cara bagi memelihara salah seorang pemain yang dianggap sebagai aset pasukan kebangsaan.