fb fb fb fb fb

ACLE: Bidoglio puas hati dengan persembahan pemain

Ketua jurulatih JDT, Hector Bidoglio / Foto RTM

ISKANDAR PUTERI, 18 Februari – Johor Darul Ta’zim (JDT) membuktikan keunggulan mereka dalam kancah bola sepak Asia selepas mencatat kemenangan penting ke atas Pohang Steelers FC dalam aksi terakhir Kumpulan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE), malam tadi.

Ketua Jurulatih JDT, Hector Bidoglio, berpuas hati dengan prestasi cemerlang anak buahnya yang beraksi dengan disiplin tinggi sepanjang perlawanan.

Beliau turut mendedikasikan kemenangan tersebut kepada para penyokong yang sentiasa menjadi tulang belakang pasukan.

“Kami diberitahu untuk memenangi perlawanan ini dan mendapatkan kedudukan terbaik dalam kumpulan.

"Hari ini adalah perlawanan yang hebat. Sorakan penyokong memberi semangat kepada pemain untuk memberikan 100 peratus, dan pasukan bermain dengan sangat baik.

“Sasaran awal kami hanyalah untuk layak ke peringkat seterusnya.

"Namun, JDT bukan sahaja berjaya melangkah ke pusingan seterusnya, tetapi kami juga berjaya mempamerkan mutu bola sepak yang kami miliki,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Pohang Steelers, Park Tae-Ha, mengakui kelemahan pasukannya dalam memanfaatkan peluang serta kesilapan yang dilakukan menjadi punca kekalahan mereka.

“Kami kerap melakukan kesilapan dan itu menjadi masalah besar dalam perlawanan ini. Kami cuba mencipta lebih banyak peluang, namun beberapa kesilapan menyebabkan kami gagal melakukannya.

"Tetapi saya percaya para pemain telah memberikan yang terbaik,” katanya selepas perlawanan.

Kemenangan ini menyaksikan JDT melangkah ke pusingan 16 terbaik, sekali gus mengukuhkan kedudukan mereka sebagai salah satu pencabar utama dalam kejohanan kali ini.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD