ISKANDAR PUTERI, 28 April - Johor Darul Ta’zim (JDT) menewaskan Guangzhou FC 2-0 dalam perlawanan timbal balik aksi Kumpulan I kempen Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Sultan Ibrahim malam tadi.
Awal perlawanan menyaksikan kedua-dua pasukan ligat mengasak benteng pertahanan lawan masing-masing dengan beberapa percubaan.
Gawang juara lapan kali Liga Super China itu dibolosi pada minit ke-16 selepas pengadil Payam Heidari menghadiahkan penalti kepada JDT apabila Bergson Da Silva dikasari Feng Yifan, sekali gus membolehkan pemain sensasi itu meledakkan gol pertama buat JDT.
Bagaimanapun JDT gagal memanfaatkan peluang terhidang untuk menambah jaringan selepas tendangan Bergson pada minit ke-33 berjaya ditepis penjaga gol Zhang Jihao.
Pasukan kendalian Pan Yong He dilihat seakan sukar menemui rentak permainan selepas diasak serangan JDT.
Satu minit sebelum tamat perlawanan, anak buah Benjamin Mora sekali lagi dihadiahkan penalti menerusi Bergson selepas Ramadhan Saifullah dikasari Shadeer Sihakejiang dan keputusan kekal 2-0.
Kemenangan itu membolehkan JDT menghuni tangga kedua dengan 10 mata di belakang Ulsan Hyundai juga dengan 10 mata cuma dipisahkan dengan perbezaan gol, manakala Kawasaki Frontale turun di tempat ketiga dengan lapan mata diikuti Guangzhou FC tanpa sebarang mata.
Pada aksi tersebut, Ulsan Hyundai dari Korea Selatan mencatat kemenangan ketiga apabila menumpaskan pasukan Kawasaki Frontale dengan 3-2 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin.
(Aksi perlawanan timbal balik Kumpulan I kempen ACL antara Johor Darul Ta’zim (JDT)
dengan Guangzhou FC di Stadium Sultan Ibrahim malam tadi/FB JOHOR Southern Tigers)
Sementara itu, Ketua Jurulatih JDT, Benjamin Mora memaklumkan, hanya kemenangan akan mengesahkan kemaraan JDT.
Namun mengakui berdepan aksi sukar Sabtu ini kerana akan bermain pada waktu petang, selain beberapa pemain sedang berpuasa ketika itu.
"Kami menghormati bulan puasa ini dan kami tidak boleh mempengaruhi pemain. Tetapi saya yakin para pemain sangat komited dan cuba mengatasinya termasuk mendapatkan rehat secukupnya. Mungkin saya akan menukar beberapa pemain untuk lebih cergas tetapi tidak banyak yang boleh kami lakukan,"katanya.
Jurulatih Guangzhou, Pan Yong He pula berpuas hati dengan aksi para pemainnya, terutama mengelak daripada bolos lebih banyak gol.
"Saya menghormati keputusan pengadil dan peraturan. Dalam perlawanan ini, kami telah bertahan dengan baik dan beraksi baik. Kami tunjukkan semangat kami terutama ketika menyerang, kami hampir mendapatkan gol tetapi masih perlu ditambah baik. Ini sudah perlawanan kelima dan seperti saya katakan dalam sidang media sebelum ini kami akan sentiasa meningkatkan tahap permainan," katanya.