Ter Stegen sertai Girona secara pinjaman

Foto AFP

PRAGUE, 21 Januari – Penjaga gol Barcelona, ​​Marc-Andre ter Stegen menyertai Girona secara pinjaman sehingga akhir musim, kedua-dua kelab mengesahkannya pada Selasa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Marc-Andre ter Stegen sertai Girona secara pinjaman hingga akhir musim.
  • Ter Stegen kini penjaga gol ketiga di Barcelona di belakang Joan Garcia dan Wojciech Szczesny.
  • Kepindahan bertujuan dapatkan masa permainan menjelang Piala Dunia 2026 untuk wakili Jerman.
  • Ter Stegen pernah alami kecederaan lutut serius; hanya satu penampilan musim ini bersama Barca.

Pemain antarabangsa Jerman itu diletakkan sebagai penjaga gol ketiga Barca di belakang Joan Garcia dan Wojciech Szczesny.

Dengan Piala Dunia 2026 yang semakin hampir, penjaga gol berusia 33 tahun itu perlu bermain secara tetap untuk membuktikan kemampuannya mewakili Jerman di kejohanan berprestij itu.

“Hari ini adalah hari terakhir saya musim ini bersama rakan sepasukan dan kakitangan di Barcelona ​​dan saya benar-benar mempunyai perasaan bercampur-baur.

“Banyak kenangan terpahat dan emosi dalam diri saya sekarang. Selama hampir 12 tahun, kelab ini bagaikan menjadi rumah saya,” menurut catatan Ter Stegen di Instagram.

Jurulatih Barca, Hansi Flick, telah mengesahkan berita itu sebelum ini dalam sidang akhbar menjelang pertembungan Liga Juara Eropah di Slavia Prague pada Rabu.

“Pagi ini Marc memaklumkan bahawa dia akan ke Girona.

“Saya fikir Marc seorang penjaga gol yang hebat. Kami memutuskan untuk beliau pergi demi masa depan kelab dan saya fikir ia adalah keputusan yang tepat. Saya mendoakan yang terbaik untuknya,” katanya.

Ter Stegen, yang menyertai Barca dari Borussia Monchengladbach pada 2014, telah memenangi enam gelaran La Liga dan satu Liga Juara Eropah bersama Barca.

Penjaga gol itu terlepas sebahagian besar musim lalu kerana kecederaan lutut yang serius, menyebabkan Barca membawa keluar Szczesny untuk menggantikannya.

Sepanjang kempen, beliau hanya membuat satu penampilan. – AFP