NSFC mara ke suku akhir Piala Malaysia, pertaruhan Nidzam berbaloi

Ketua Jurulatih NSFC, Mohd Nidzam Jamil- Foto FB Negeri Sembilan Football Club.

SEREMBAN, 26 Januari – Ketua Jurulatih Negeri Sembilan FC (NSFC), Mohd Nidzam Jamil berkata pertaruhan berisiko memasukkan pertahanan, Luis Enrique Nsue yang baru pulih daripada kecederaan, terbukti berbaloi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pertaruhan memasukkan Luis Enrique Nsue dua hari selepas pulih terbukti berbaloi apabila membantu mempertahankan kelebihan jaringan.
  • NSFC mara ke suku akhir Piala Malaysia selepas menewaskan Imigresen FC dengan agregat 1-0.
  • Mohd Nidzam tekankan keutamaan saingan piala dan peluang tebus kekalahan kepada Selangor FC akan datang.

Nsue dimasukkan pada minit ke-75 bagi menggantikan Takumi Sasaki, pemain kelahiran Equatorial Guinea itu sebelum ini mengalami kecederaan paha pada Oktober 2025.

Kehadiran Nsue membantu Skuad Jang mempertahankan kelebihan jaringan tunggal Luqman Hakim Shamsudin, sekali gus memastikan NSFC mara ke suku akhir Piala Malaysia dengan agregat 1-0 menewaskan Imigresen FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Mohd Nidzam menyifatkan perlawanan tersebut sebagai sengit dan terbuka, sambil memuji usaha pemain mengekalkan disiplin permainan selepas mendahului perlawanan.

“Ia perlawanan yang bagus dan terbuka. Selepas kita mendahului, Imigresen memasukkan pemain baharu dan kita cuba untuk terus bersaing,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Beliau turut memaklumkan Nsue baru pulih dua hari sebelum perlawanan dan diturunkan bagi mengisi 20 minit terakhir, satu keputusan yang disifatkan berisiko namun berbaloi.

“Ini perlawanan piala. Perkara paling penting ialah kita mara ke kelompok lapan terbaik, dan itulah keutamaan dalam saingan piala,” tegasnya.

NSFC selepas ini dijadual berdepan Selangor FC sekali gus membuka peluang buat Mohd Nidzam menebus kekalahan 0-4 dalam pertemuan terdahulu musim ini.