
LEIPZIG, 19 Januari – Bekas pengurus Liverpool, Jurgen Klopp menyifatkan pemergian Xabi Alonso dari Real Madrid sebagai sesuatu yang mengejutkan tetapi pada masa sama boleh dijangkakan berdasarkan reputasi kelab itu yang terkenal dengan keputusan tegas terhadap pengurus.
- Klopp anggap pemecatan Xabi Alonso mengejutkan tetapi sesuai dengan budaya keputusan tegas Real Madrid.
- Beliau percaya Real sukar mencari pengganti sesuai kerana tiada pelan jelas selepas pemergian Alonso.
- Klopp menolak spekulasi dirinya ke Real, beritahu dia tenang dan tidak berminat kembali melatih buat masa ini.
Alonso, yang pernah beraksi sebagai pemain tengah Real, meninggalkan kelab selepas kurang lapan bulan bertugas.
Keputusan itu dibuat melalui “persetujuan bersama”, sehari selepas Real tewas 3-2 kepada Barcelona dalam aksi Piala Super Sepanyol.
Beliau turut mengingatkan bahawa Real Madrid pernah memecat Jupp Heynckes pada 1998 hanya lapan hari selepas menjuarai Liga Juara Eropah kerana gagal memenangi La Liga.
“Madrid memang begitu apabila mereka bukan nombor satu dalam liga,” ujar Klopp.
Klopp, yang kini memasuki tahun pertama sebagai ketua global bola sepak Red Bull, berkata Real Madrid kelihatan seperti tidak mempunyai pelan jelas selepas pemergian Alonso dan mungkin berdepan kesukaran memilih pengganti yang sesuai.
“Saya tidak tahu mengapa ia berlaku, tetapi setiap perkara ada sebabnya.
“Apa yang kelab (Real Madrid) perlu sedar sekarang ialah membawa masuk pengganti bukanlah semudah itu.
“Jika anda memecat jurulatih, anda sepatutnya sudah tahu siapa yang anda mahu menggantikannyadan itu perlu realistik”, ujarnya kepada AFP
Sementara itu, bekas pengendali Borussia Dortmund itu menolak spekulasi bahawa beliau mungkin merupakan calon sesuai mengisi kekosongan jawatan di Santiago Bernabeu.
“Saya berada dalam keadaan yang membuatkan saya benar-benar tenang.
“Saya tidak mahu berada di tempat lain,” katanya.
“Saya tidak akan teruja pun jika Real Madrid menunjukkan minat, jika betul mereka berminat. Itu semua cerita media”, ujarnya.
Klopp, yang memenangi pelbagai trofi termasuk gelaran liga di England dan Jerman serta Liga Juara Eropah bersama Liverpool, berkata beliau masih berpegang pada pendirian untuk tidak kembali melatih.
“Adakah saya mahu melatih lagi?
“Buat masa ini saya kata tidak, tetapi saya tidak boleh kata ‘tidak’ selama-lamanya”, katanya. – AFP