Kejayaan SEARF 15s pemangkin perkembangan ragbi wanita

Pemain pertahanan skuad ragbi wanita, Nur Izzah Azizan / Foto BERNAMA

PETALING JAYA, 18 Januari – Pemain pertahanan skuad ragbi wanita negara, Nur Izzah Azizan, berharap kejayaan menjulang kejuaraan Kejohanan Persekutuan Ragbi Asia Tenggara (SEARF) 15 sebelah (15s) Wanita dapat menjadi pemangkin kepada perkembangan sukan itu di Malaysia, khususnya dalam menarik minat pemain muda.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kejayaan SEARF 15s boleh menjadi pemangkin menarik minat pemain muda dan mengembangkan ragbi wanita 15s di Malaysia.
  • Format 15s menekankan taktikal dan peranan khusus setiap posisi, memberi peluang kepada semua jenis pemain tanpa mengira saiz.
  • Kelebihan fizikal dan keupayaan berlari pemain tempatan dilihat sebagai faktor penting untuk mencapai kejayaan serantau.

Menurut Izzah, kejayaan di pentas serantau bukan sahaja mampu meningkatkan keyakinan pasukan, malah memberi pendedahan lebih meluas terhadap ragbi 15s wanita yang disifatkan mempunyai potensi besar untuk terus berkembang di negara ini.

“Kami memang meletakkan sasaran untuk muncul juara. Jika berjaya, saya harap ia dapat menarik perhatian lebih ramai adik-adik untuk melihat dan menceburi ragbi, khususnya 15 sebelah. Di Malaysia sebenarnya terdapat potensi yang besar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sesi latihan skuad kebangsaan di Kelab Ragbi Kobra, di sini.

Izzah turut menjelaskan kejohanan SEARF 15s kali ini amat bermakna memandangkan ia merupakan kejohanan 15 sebelah pertama disertai pasukan wanita negara selepas sekian lama.

“Harapan saya, kejayaan nanti dapat memberi lebih pendedahan serta memastikan ragbi wanita 15s terus dikenali dan berkembang dengan baik di negara kita,” ujarnya.

Mengulas perbezaan antara ragbi 7 sebelah (7s) dan 15 sebelah (15s), Izzah menyifatkan format 15s lebih menekankan aspek taktikal serta peranan khusus setiap posisi di atas padang.

“Dalam 15s, setiap posisi mempunyai peranan masing-masing. Pemain forward lebih tertumpu kepada aspek fizikal dan sentuhan, manakala backline pula fokus kepada larian dan pergerakan. Menariknya, format ini memberi peluang kepada semua jenis pemain tanpa mengira saiz,” jelasnya.

Dalam pada itu, Izzah percaya kelebihan fizikal pemain tempatan yang memiliki saiz dan ketinggian selain keupayaan berlari dengan baik mampu menjadi faktor penting dalam membantu Malaysia meraih kejayaan.

Skuad ragbi wanita negara dijadual membuka kempen SEARF 15s Wanita dengan perlawanan menentang Singapura pada 11 Februari ini di Padang Astaka, Petaling Jaya.