
LABUAN, 27 Januari – Sembilan projek bernilai lebih RM133 juta di bawah Jabatan Bekalan Air (JBA) Labuan berjaya disiapkan dan ia dapat memperkukuhkan sistem agihan air di pulau tersebut serta membantu mengurangkan kadar air tidak berhasil (NRW).
- Sembilan projek JBA Labuan bernilai lebih RM133 juta siap, memperkukuh sistem agihan air pulau.
- Pembaikan dan penggantian paip, pam serta baik pulih tangki kurangkan masalah paip lama rosak.
- Projek dilaksanakan melalui RMK11, RMK12 dan peruntukan Belanjawan 2024 bagi meningkatkan bekalan air.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata tiga projek bernilai RM106.5 juta telah dilaksana secara berperingkat di bawah Rancangan Malaysia Ke-11(RMK11).
Sementara itu, dua projek ‘one-off’ di bawah RMK12 bernilai RM4.77 juta berjaya disiapkan dalam tempoh tujuh bulan.
Selain itu, empat projek jangka pendek di bawah peruntukan RM300 juta yang diumumkan Perdana Menteri semasa Belanjawan 2024 turut disiapkan, membabitkan kos sebanyak RM22.4 juta.
Perlaksanaan itu merangkumi pembaikan peralatan mekanikal dan elektrikal, penggantian pam serta baik pulih tangki.
“Dan projek ini agak signifikan untuk Labuan, satu ialah berhubung kait dengan paip-paip lama yang telah diganti, yang banyak paip-paip yang lama dah rosak dan sebagainya iaitu tugas pam sistem dan banyak perkara lagilah kita buat,”
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menyatakannya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Projek Bekalan Air, di sini hari ini.
Hadir sama Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Lo Su Fui dan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Dr. Suhaili Abd Rahman.