Perkukuh hospitaliti dan reka bentuk, sokong sasaran 40 juta pelancong

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Chiew Choon Man berucap pada Majlis Perasmian The CEO Series 2026 di Kuala Lumpur/RTM

KUALA LUMPUR, 15 Januari -Pendekatan reka bentuk semula dan penjenamaan semula industri hospitaliti perlu dilaksanakan, selaras dengan sasaran 40 juta pelancong menjelang Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Reka bentuk semula dan penjenamaan hospitaliti untuk tingkatkan nilai aset serta daya tahan menghadapi perubahan pasaran.
  • Tawaran penginapan berfokus pengalaman bermakna, penghayatan budaya tempatan dan kesan peribadi berpanjangan.
  • Kerjasama dengan komuniti, PKS, amalan kelestarian dan teknologi digital penting untuk daya saing.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Chiew Choon Man berkata, langkah itu dapat meningkatkan nilai aset hospitaliti serta memastikan daya tahan hasil dalam menghadapi perubahan pasaran.

Ia sekali gus dapat memastikan portfolio kekal berdaya tahan menghadapi perubahan pasaran dan permintaan yang sentiasa berkembang.

“Malaysia tidak seharusnya dilihat sekadar sebagai destinasi untuk dilawati, tetapi sebagai destinasi untuk kembali, destinasi untuk melabur dan destinasi untuk berkembang bersama. Keunggulan kompetitif Malaysia terletak pada kepelbagaian yang tiada tandingan, keramahan sejati, dan hospitaliti autentik kita,” katanya dalam ucapan perasmian sempena The CEO Series 2026 ,di sini.

Tambah beliau, penawaran penginapan perlu memberi pengalaman yang bermakna, termasuk penghayatan budaya tempatan secara mendalam serta perjalanan peribadi yang mampu meninggalkan kesan berpanjangan kepada pelancong.

Menurut Chiew Choon Man, kerjasama erat dengan komuniti setempat, penggiat seni dan perusahaan kecil serta sederhana (PKS) juga perlu diperkukuh bagi memastikan manfaat pelancongan dapat dinikmati secara menyeluruh.

Aspek kelestarian dan kemudahan digital kini menjadi faktor utama dalam keputusan tempahan pelancong.

“Justeru, aset hospitaliti yang menggabungkan amalan hijau, teknologi pintar serta naratif tempatan yang autentik dilihat mampu menonjol dan kekal berdaya saing dalam pasaran serantau yang kian mencabar.” katanya lagi.