Matriks Pembelajaran bantu intervensi awal murid Tahun 4, Tingkatan 3

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek/ BERNAMA

PUTRAJAYA, 20 Januari – Penilaian Matriks Pembelajaran yang akan dilaksanakan kepada murid Tahun 4 dan Tingkatan 3 bukan bertujuan menggantikan sistem peperiksaan, sebaliknya memberi ruang kepada intervensi awal dan pengukuhan pembelajaran.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penilaian Matriks Pembelajaran untuk Tahun 4 dan Tingkatan 3 bertujuan intervensi awal, bukan menggantikan peperiksaan.
  • Pelaksanaan memberi masa dua tahun untuk intervensi sebelum murid memasuki sekolah menengah.
  • Penilaian melibatkan subjek teras dan diselaraskan untuk meningkatkan prestasi dalam penilaian antarabangsa.

Menurut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, penilaian tersebut akan dilaksanakan kepada murid Tahun 4 dan Tingkatan 3 bermula Oktober ini, namun ia bukan peperiksaan berimpak tinggi.

“Saya minta ibu bapa dan guru jangan panik. Ini bukan sistem peperiksaan untuk menekan anak-anak, sebaliknya satu mekanisme penilaian bagi tujuan intervensi awal, pengukuhan dan sokongan kepada kurikulum baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026-2035 di sini.

Pelaksanaan di peringkat Tahun 4, katanya membolehkan kementerian mempunyai tempoh dua tahun untuk melaksanakan intervensi sebelum murid melangkah ke sekolah menengah sekiranya terdapat kelemahan pembelajaran.

Matriks Pembelajaran akan dikendalikan oleh Lembaga Peperiksaan bagi memastikan keyakinan awam terhadap ketelusan penilaian, dengan keputusan diperoleh sebelum cuti sekolah bagi membolehkan tindakan susulan dilaksanakan di Tahun 5 dan Tahun 6.

Di peringkat sekolah rendah, matriks pembelajaran melibatkan lima subjek teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Sejarah, manakala di peringkat menengah rendah, mata pelajaran Sejarah turut dinilai sebagai persediaan awal ke arah Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Penilaian itu juga diselaraskan dengan sasaran meningkatkan prestasi Malaysia dalam penilaian antarabangsa seperti Southeast Asia Primary Learning Metrics (SEA-PLM), Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) dan Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA), selaras dengan matlamat menempatkan negara dalam kelompok satu pertiga terbaik dunia.

 

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan