Polis buru wanita, dipercayai dalang sindiket seludup dadah antarabangsa

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan/BERNAMA

KOTA BHARU, 11 Januari– Polis memburu seorang wanita lingkungan 30-an yang dipercayai dalang utama sindiket penyeludupan dadah antarabangsa susulan rampasan 52 kilogram (KG) bunga ganja bernilai hampir RM2 juta di Kuala Krai, Kelantan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Polis buru wanita dwi kerakyatan Malaysia-Thailand dipercayai dalang utama sindiket penyeludupan dadah antarabangsa.
  • Rampasan 52 kg bunga ganja bernilai hampir RM2 juta hasil dua serbuan, tiga lelaki tempatan ditahan.
  • Sindiket aktif sejak Sept 2024, bekalan melalui sempadan ke rumah transit sebelum diedarkan ke pasaran tempatan dan antarabangsa.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata wanita berkenaan disyaki memiliki dua kerakyatan Malaysia-Thailand dan kini berada di negara jiran.

Rampasan bunga ganja terbabit dibuat menerusi Op Agas melibatkan dua serbuan berasingan dan menahan tiga lelaki tempatan berusia 32 hingga 50 tahun.

Serbuan pertama di Jalan Kota Bharu-Gua Musang membawa kepada rampasan dadah dalam sebuah kereta manakala serbuan kedua di Taman Sri Guchil menahan dua lagi suspek.

“Kita telah melaksanakan tindakan susulan melalui kerjasama dengan pihak berkuasa Thailand dan kini sedang menyiasat dalang utama sindiket ini. Sindiket berkenaan dipercayai aktif sejak September 2024, dengan modus operandi mengambil bekalan dadah di Pengkalan Jambu dan Rantau Panjang sebelum dibawa ke sebuah rumah transit di hujung Kampung Pulau Gajah, Sabak, Pengkalan Chepa.”

“Dadah tersebut kemudiannya diedarkan ke pasaran tempatan dan antarabangsa melalui Lembah Klang,” kata beliau dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini.

Dadah yang dirampas dianggarkan boleh merosakkan lebih 100,000 orang.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan semua suspek direman 14 hari sehingga 16 Januari depan.