MARITIM Selangor gagalkan cubaan seludup PATI melalui perairan negeri

Foto RTM

PELABUHAN KLANG, 27 Januari– Cubaan menyeludup masuk dan membawa keluar Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) melalui perairan Selangor berjaya digagalkan apabila Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (MARITIM) Selangor menahan dua bot dalam satu operasi khas awal pagi Isnin (26 Januari).

RINGKASAN BERITA AI
  • MARITIM Selangor menahan dua bot dalam operasi khas, menggagalkan penyeludupan dan pengangkutan PATI melalui perairan negeri.
  • Jumlah ditahan: 50 PATI termasuk kanak-kanak dan bayi; tekong serta anak kapal warga asing dan dua lelaki tempatan turut ditahan.
  • Kes disiasat di bawah Akta Imigresen dan ATIPSOM; semua suspek dan bot dibawa ke Jeti Polis Marin Pulau Indah.

Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata tangkapan dibuat hasil risikan di sekitar perairan Bagan Nahkoda Omar.

Tangkapan pertama melibatkan sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran yang ditahan kira-kira pukul 12.30 tengah malam, membawa 26 PATI warga Indonesia termasuk kanak-kanak, dan dikendalikan oleh tekong warga Myanmar, selain dua lelaki tempatan.

Tangkapan kedua dibuat sekitar 2.00 pagi, melibatkan sebuah bot pom-pom yang membawa 24 PATI, termasuk seorang bayi perempuan berusia tiga bulan, dikendalikan oleh tekong dan dua awak-awak warga Indonesia.

“Siasatan awal mendapati setiap PATI dikenakan bayaran antara RM1,500 hingga RM2,500 seorang, bergantung kepada lokasi penghantaran.”

Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1953/63 kerana masuk dan keluar dari Malaysia melalui laluan tidak diwartakan, serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) kerana terlibat dalam aktiviti penyeludupan migran,” jelas Kepten Maritim Abdul Muhaimin kepada pemberita, hari ini.

Tegas beliau lagi, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan jenayah rentas sempadan dan akan terus memperkasa operasi menyasarkan kepada dalang, tekong serta ejen sindiket.

Semua individu dan bot ditahan dibawa ke Jeti Polis Marin Pulau Indah untuk tindakan lanjut.

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan