Dua beradik guna senjata kutip hutang Ah Long ditahan

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat (dua,kanan) bersama para pegawainya menunjukkan rampasan dua pucuk pistol dan selaras senapang buatan sendiri serta dua pucuk pistol tiruan pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kelantan/ BERNAMA

KOTA BHARU, 14 Januari – Dua beradik lelaki ditahan selepas polis menjumpai selaras senapang serta dua pucuk pistol buatan sendiri yang dipercayai digunakan untuk kegiatan mengutip hutang Ah Long di sebuah rumah di Kampung Seneng, Jelawat, Bachok, Kelantan, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Dua beradik ditahan selepas polis menemui senapang dan pistol buatan sendiri dipercayai digunakan untuk kutip hutang Ah Long.
  • Mereka dipercayai aktif sejak Oktober, mengutip kira-kira RM200,000 dan mengaku menerima upah serta membawa senjata untuk menakutkan penghutang.
  • Ujian air kencing positif methamphetamine, ada rekod lampau, dan direman untuk siasatan di bawah undang-undang senjata dan dadah.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata hasil serbuan pada pukul 5.00 petang itu, pihaknya turut merampas dua pucuk pistol tiruan, 27 biji serbuk kaliber, dua kelopak peluru, sebuah kereta dan tiga buah telefon bimbit.

Beliau berkata, kedua-dua suspek berusia 34 dan 37 tahun itu dipercayai aktif melakukan kegiatan itu sejak Oktober tahun lalu dan setakat ini telah mengutip hutang Ah Long sebanyak RM200,000 di sekitar Bachok dan daerah bersebelahan.

“Hasil siasatan awal mendapati senjata-senjata ini digunakan untuk kegiatan yang berkaitan dengan Ah Long, termasuk kerja mengutip hutang.

“Setakat ini, terdapat kira-kira lima pengakuan awal membabitkan kes di mana suspek menerima upah untuk mengutip hutang bagi pihak Ah Long dan membawa senjata berkenaan bagi menakut-nakutkan penghutang”, katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di Kota Bharu.

Mengulas lanjut, siasatan awal turut mendapati suspek yang bekerja sebagai tukang besi itu mempelajari selok-belok pembuatan senjata api tersebut menerusi YouTube.

Datuk Mohd Yusoff berkata, hasil ujian saringan air kencing juga mendapati kedua-dua suspek positif methamphetamine dan semakan mendapati dua beradik itu mempunyai rekod lampau berkait jenayah dan narkotik.

Suspek direman selama empat hari bermula hari ini hingga 17 Januari bagi disiasat di bawah Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 (memiliki, membawa, mengawal senjatapi atau amunisi tanpa lesen yang sah), Seksyen 36 Akta Senjata 1960 (memiliki senjata tiruan) dan Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.