KUALA LUMPUR, 7 Januari – Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA) menyambut baik pengumuman 10 inisiatif utama kerajaan bernilai hampir RM80 bilion yang bertujuan memperkukuh sokongan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
- SAMENTA alu-alukan pakej hampir RM80 bilion sebagai suntikan kecairan kritikal untuk bantu PMKS hadapi kos meningkat dan pematuhan.
- Penghargaan kepada PM dan Menteri atas strategi sokongan khususnya langkah kurangkan kos pematuhan dan perbaiki aliran tunai.
- Langkah termasuk peningkatan ambang cukai sewaan ke RM1.5 juta, pengurangan kadar cukai, dan penangguhan denda e-invois hingga akhir 2026.
- SAMENTA cadang akademi peralihan PMKS, sokongan berperingkat untuk sektor margin rendah, dan pemudahan akses pembiayaan inklusif.
Presiden SAMENTA Datuk William Ng dalam kenyataan memaklumkan, pakej berkenaan disifatkan sebagai suntikan kecairan kritikal bagi membantu PMKS menangani tekanan kos yang meningkat serta cabaran pematuhan yang dijangka berterusan dalam tempoh mendatang.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim Chee Keong, atas pelaksanaan strategi sokongan kepada PMKS.
“Beberapa langkah kerajaan dilihat memberi kelegaan besar kepada PMKS, khususnya berkaitan kos pematuhan dan aliran tunai.
“Antaranya termasuk peningkatan ambang cukai perkhidmatan sewaan kepada RM1.5 juta, pengurangan kadar cukai sewaan, penangguhan denda pelaksanaan e-invois Fasa 4 hingga akhir 2026 serta penyelesaian bayaran balik cukai pendapatan tertunggak,” menurut kenyataan itu.
Sokongan tambahan turut melibatkan pembiayaan RM2.5 bilion dan peruntukan RM2.4 bilion bagi projek kecil kontraktor G1-G4.
Dalam pada itu, SAMENTA turut mencadangkan penubuhan akademi peralihan PMKS diterajui industri, pendekatan sokongan berperingkat bagi sektor bermargin rendah serta pemudahan akses pembiayaan agar lebih inklusif.
SAMENTA juga menegaskan komitmen untuk terus bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bagi memastikan pelaksanaan dasar selari dengan realiti di lapangan.