Nepali Congress berpecah menjelang pilihan raya

Foto AFP

KATHMANDU, 15 Januari – Parti politik tertua Nepal, Nepali Congress berpecah menjelang pilihan raya umum pada Mac, apabila pihak pembangkang melantik presiden baharu secara sebulat suara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Parti Nepali Congress berpecah selepas pemimpin pembangkang melantik Gagan Thapa sebagai presiden baharu secara sebulat suara.
  • Perselisihan mengenai penggunaan simbol pokok dan bendera parti bagi pilihan raya 5 Mac masih belum diselesaikan.
  • Sher Bahadur Deuba enggan berundur meskipun rundingan dilakukan untuk mengelakkan perpecahan parti.
  • Perpecahan mencerminkan permintaan untuk kepimpinan baharu dan akauntabiliti; Sushila Karki dilantik perdana menteri interim.

Perpecahan itu berlaku selepas protes besar-besaran September lalu yang menumbangkan kerajaan susulan isu rasuah, kelemahan tadbir urus dan tuntutan pembaharuan politik.

“Saya berterima kasih atas kepercayaan ini dan berjanji tidak akan mengecewakan anda semua,” kata presiden baharu parti, Gagan Thapa.

Masih belum jelas blok mana yang sah untuk menggunakan simbol pokok dan bendera parti dalam pilihan raya 5 Mac nanti.

Suruhanjaya Pilihan Raya memaklumkan pihaknya menerima surat daripada kedua-dua blok dan akan membuat keputusan rasmi.

Sher Bahadur Deuba, yang mengetuai parti sejak 2016, enggan berundur walaupun rundingan bagi mengelakkan perpecahan dijalankan sehingga Rabu.

Thapa dan dua pemimpin lain digantung sebelum ahli yang berpisah melantik beliau sebagai ketua baharu.

Beliau merupakan tokoh generasi muda parti dan bekas setiausaha agung Nepali Congress.

Perpecahan ini mencerminkan perubahan landskap politik Nepal dengan tuntutan kepimpinan baharu dan akauntabiliti semakin meningkat.

Bekas Ketua Hakim Negara, Sushila Karki kini dilantik sebagai perdana menteri interim selepas kerajaan sebelum ini digulingkan.

Karki berjanji memastikan pilihan raya berlangsung dalam suasana adil dan selamat.