Mahkamah Beijing arah Malaysia Airlines bayar pampasan kepada keluarga penumpang MH370

BEIJING, 8 Disember -Malaysia Airlines diarah membayar pampasan kepada keluarga lapan penumpang pesawat MH370.

Perintah itu dikeluarkan sebuah mahkamah di Beijing pada Isnin, lebih sedekad selepas pesawat itu hilang.

Mahkamah Rakyat Daerah Chaoyang dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa 47 lagi saman telah ditarik balik selepas keluarga terlibat mencapai penyelesaian di luar mahkamah.

Menurut mahkamah, pampasan yang diputuskan pada Jumaat lalu merangkumi kos pengebumian, tekanan emosi dan kerugian lain, dengan setiap keluarga berhak menerima lebih daripada 2.9 juta yuan (kira-kira RM2 juta).

Daripada 78 tuntutan asal yang difailkan oleh keluarga mangsa, mahkamah memaklumkan bahawa 23 kes masih belum diselesaikan. Waris bagi penumpang yang terlibat “sama ada belum membuat permohonan pengisytiharan kematian atau belum melengkapkan proses pengisytiharan tersebut”.

Lapan penumpang yang keluarganya menerima pampasan telah diisytiharkan meninggal dunia secara sah.

Pengumuman mahkamah itu dibuat beberapa hari selepas pihak berkuasa Malaysia mengumumkan bahawa pencarian pesawat MH370 akan disambung semula pada akhir Disember, satu keputusan yang disambut baik oleh Kementerian Luar China serta keluarga mangsa.

Pesawat Boeing 777 yang membawa 239 penumpang itu hilang daripada radar pada 8 Mac 2014 ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing.

Walaupun operasi pencarian terbesar dalam sejarah penerbangan telah dijalankan, pesawat tersebut masih belum ditemui.

Dua pertiga daripada penumpang merupakan warganegara China, manakala selebihnya terdiri daripada rakyat Malaysia, Indonesia, Australia, India, Amerika Syarikat, Belanda dan Perancis.- AFP