(Foto fail)
PUTRAJAYA, 17 November- Amanah dipegang saat negara masih berdepan ancaman COVID-19 dan keadaan ekonomi yang terjejas.
Datuk Seri Ismail Sabri akui, ia bukan suatu yang mudah, namun pelbagai usaha dilakukan sehingga negara mampu memasuki fasa peralihan ke endemik, sekali gus merancakkan kembali ekonomi negara.
Mengimbau ketika diberi mandat menerajui negara pada 21 Ogos tahun lalu, Datuk Seri Ismail Sabri mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ketiga dalam penggal 2018-2022, selepas berlaku peralihan tiga kerajaan dalam tempoh tiga tahun, yang juga ibarat episod gelap politik negara.
Pada ketika itu negara berdepan ancaman pandemik COVID-19 dengan jumlah pesakit harian mencecah puluhan ribu, mengorbankan ratusan rakyat sehari sehingga menyebabkan fasiliti perubatan hampir lumpuh.
(15 bulan menerajui negara,15 inisiatif dicapai)
Tidak cukup dengan itu, negara berdepan krisis ekonomi dengan jumlah pengangguran meningkat lebih 700,000 orang dan banyak perniagaan terpaksa gulung tikar manakala rakyat hilang mata pencarian.
Sepanjang tempoh 15 bulan beliau menerajui kerajaan, 15 inisiatif telah dicapai.
Datuk Seri Ismail Sabri menegaskan, walaupun keadaan bertambah baik masih banyak yang perlu dilaksanakan untuk menjadi sebuah negara bangsa yang teguh bersama dan kembali dihormati di persada dunia.
Beliau yang juga penyandang kerusi Parlimen Bera sejak 2004 berharap, dapat membawa negara terus maju ke hadapan.