
KUALA LUMPUR, 13 Mac -Pejabat Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) memulakan siasatan terhadap 60 ekonomi bawah Seksyen 301(b) Akta Perdagangan 1974 berhubung kegagalan mengambil tindakan terhadap amalan buruh paksa dalam perdagangan.
- Senarai termasuk rakan dagang utama AS seperti Mexico, Kanada, China, Jepun dan United Kingdom.
- Malaysia dan enam negara ASEAN lain disiasat: Kemboja, Indonesia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.
- USTR berkata kerajaan asing gagal menguatkuasakan larangan import barangan hasil buruh paksa ke pasaran mereka.
- USTR memohon rundingan, akan mengadakan sesi pendengaran pada 28 April 2026 untuk menilai kesan dan tindakan berhubung amalan buruh paksa.
Senarai ekonomi yang terlibat dalam siasatan itu termasuk rakan dagang utama Amerika Syarikat (AS) seperti Mexico, Kanada, China, Jepun dan United Kingdom (UK).
Selain Malaysia, enam negara Asean turut disiasat iaitu Kemboja, Indonesia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.
Duta USTR, Jamieson Greer berkata, walaupun terdapat konsensus antarabangsa menentang buruh paksa, kerajaan asing gagal mengenakan serta menguatkuasakan secara berkesan langkah melarang kemasukan barangan yang dihasilkan melalui buruh paksa ke dalam pasaran mereka.
“Untuk sekian lamanya, pekerja dan syarikat AS terpaksa bersaing dengan pengeluar asing yang mungkin mempunyai kelebihan kos secara tidak semula jadi hasil daripada amalan buruh paksa,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan dari Washington.
Tambahnya, siasatan itu akan menentukan sama ada kerajaan asing telah mengambil langkah mencukupi untuk melarang import barangan yang dihasilkan melalui buruh paksa serta bagaimana kegagalan membanteras amalan itu memberi kesan kepada pekerja dan perniagaan di Amerika Syarikat.
Menurut kenyataan itu, Seksyen 301 Akta Perdagangan 1974 digubal untuk menangani amalan luar negara yang tidak adil yang menjejaskan perdagangan AS.
Ia boleh digunakan bagi bertindak balas terhadap amalan kerajaan asing yang tidak wajar, tidak munasabah atau bersifat diskriminasi yang membebankan atau menyekat perdagangan Amerika Syarikat.
Bawah Seksyen 302(b) Akta Perdagangan, USTR juga boleh memulakan siasatan sendiri di bawah Seksyen 301.
Siasatan di bawah Seksyen 301(b) pula meneliti sama ada tindakan, dasar atau amalan sesebuah negara asing adalah tidak munasabah atau diskriminasi serta membebankan atau menyekat perdagangan Amerika Syarikat.
”Siasatan dimulakan selepas mempertimbangkan nasihat Jawatankuasa Antara Agensi Seksyen 301 dan berunding dengan jawatankuasa penasihat yang berkaitan.
”Sejurus siasatan dimulakan, USTR perlu mendapatkan rundingan dengan ekonomi yang tindakan, dasar atau amalannya sedang disiasat,” menurut agensi itu.
USTR telah memohon rundingan dengan kerajaan yang terlibat berhubung siasatan berkenaan dan akan mengadakan sesi pendengaran berkaitan siasatan tersebut pada 28 April 2026.
USTR pada Rabu turut mengumumkan mengenai siasatan terhadap tindakan, dasar dan amalan ke atas 15 negara, termasuk Malaysia dan Kesatuan Eropah (EU), bawah Seksyen 301(b) Akta Perdagangan 1974 berkaitan dengan kapasiti berlebihan struktur dan pengeluaran dalam sektor perkilangan.