
PUTRAJAYA, 31 Mac –Ekonomi negara yang diunjurkan berkembang pada kadar 4.0 hingga 5.0 peratus pada 2026 disifatkan selari dengan data serta perkembangan ekonomi semasa.
- Unjuran BNM menekankan keperluan memastikan ketahanan ekonomi dan mengekalkan momentum pertumbuhan yang stabil dan mampan.
- Kerajaan akan berpandukan unjuran BNM untuk memastikan keselarasan dasar dan sasaran RMK13.
- Cabaran geopolitik global perlu ditangani kerana berpotensi memberi tekanan kepada persekitaran ekonomi.
- Perbelanjaan isi rumah berdaya tahan, realisasi pelaburan lebih tinggi dan prestasi pelancongan stabil menyokong pertumbuhan.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, unjuran yang dibuat oleh Bank Negara Malaysia (BNM) itu memberi penekanan kepada keperluan untuk memastikan ketahanan ekonomi negara terus kukuh, selain mengekalkan momentum pertumbuhan yang stabil dan mampan.
Menurut beliau, usaha tersebut juga perlu dilaksanakan seiring dengan langkah menangani cabaran di peringkat geopolitik global yang dijangka terus memberi tekanan kepada persekitaran ekonomi semasa.
“Kerangka ekonomi semasa memberi isyarat positif kepada pelabur dan membantu meningkatkan keyakinan terhadap prospek ekonomi negara. Perkembangan ini dijangka menyokong pertumbuhan berterusan menjelang tahun 2026,” katanya dalam sidang media selepas Seminar Pemetaan Peluang Strategik Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) melalui RMK13, di sini.
Tambah beliau, unjuran ekonomi negara bukan sahaja dilihat dalam tempoh jangka sederhana dan jangka panjang, malah turut mengambil kira sasaran pertumbuhan dalam tempoh lima tahun seperti yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Menurutnya, kerajaan akan terus berpandukan unjuran daripada Bank Negara Malaysia bagi memastikan keselarasan dasar dan unjuran berkenaan.
Bank Negara Malaysia (BNM) mengunjurkan ekonomi Malaysia berkembang antara empat hingga lima peratus tahun ini, meningkat berbanding unjuran empat hingga 4.8 peratus pada 2025.
Prestasi itu didorong oleh perbelanjaan isi rumah yang berdaya tahan, realisasi pelaburan yang lebih tinggi serta prestasi sektor pelancongan yang stabil dijangka terus menyokong momentum pertumbuhan ekonomi negara.