TM komited kekal pembayaran dividen tahun ini

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Amar Huzaimi Md Deris/RTM

KUALA LUMPUR, 25 Februari -Telekom Malaysia Bhd (TM) komited mengekalkan pengagihan dividen yang baik kepada pemegang sahamnya bagi tahun kewangan 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • TM komited mengekalkan pengagihan dividen yang baik kepada pemegang saham bagi tahun kewangan 2026.
  • TM akan mengimbangi keperluan pemegang kepentingan dengan ketersambungan dan keperluan digital pelanggan.
  • Fokus pelaburan pada jalur lebar, awan, perkhidmatan digital, AI, GPU dan pusat data untuk kukuhkan infrastruktur.
  • Keuntungan bersih 2025 turun kepada RM1.71 bilion, walaupun pendapatan suku meningkat kepada RM11.87 bilion.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Amar Huzaimi Md Deris berkata, pihaknya akan terus mengimbangi antara keutamaan pelbagai pihak berkepentingan dan keperluan ketersambungan dan digital pelanggan.

“Kami telah membayar dividen penuh sebanyak 31 sen sesaham bagi tahun kewangan 2025, atau kira-kira 70 peratus daripada nisbah pembayaran keuntungan, sekali gus mencerminkan komitmen kami terhadap pulangan mampan kepada pemegang saham.

”Berdasarkan rekod yang lalu, TM telah menunjukkan prestasi yang konsisten dari segi pengagihan dividen dan kami mahu memastikan trend tersebut dapat diteruskan,” katanya pada taklimat media pengumuman bagi prestasi kewangan berakhir 31 Disember 2025 (TK2025), di sini.

Tambahnya, TM akan terus menumpukan kepada pelaburan dalam bidang teras syarikat, termasuk peluasan liputan jalur lebar serta pembangunan perkhidmatan awan, perkhidmatan digital, kecerdasan buatan (AI), unit pemprosesan grafik (GPU) dan pusat data.

“Pelaburan ini merupakan gabungan antara projek baharu dan pengukuhan keupayaan infrastruktur sedia ada.

”Rangkaian gentian optik akan terus diperluas, di samping pelaburan dalam perkhidmatan awan, pusat data, perkhidmatan digital, AI dan GPU. Inilah bidang utama yang menjadi tumpuan kami” katanya lagi.

Bagi tahun kewangan penuh 2025, TM merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM1.71 bilion, lebih rendah berbanding RM2.02 bilion pada tahun kewangan 2024.

Manakala pendapatan meningkat kepada RM11.87 bilion pada suku dikaji berbanding RM11.71 bilion pada tahun sebelumnya.

TM juga merekodkan keuntungan bersih lebih rendah pada suku keempat berakhir 31 Disember 2025 pada RM222.5 juta berbanding RM730.6 juta pada suku sama tahun sebelumnya.