TIV 2025 pasaran automotif negara naik 0.5 %, lebih 820,000 unit

 Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA) Mohd Shamsor Mohd Zain/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 20 Januari – Jualan keseluruhan industri (TIV) pasaran automotif Malaysia pada 2025 meningkat 0.5 peratus kepada 820,752 unit berbanding 816,747 unit pada 2024, melepasi paras 800,000 unit bagi tahun kedua berturut-turut.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peningkatan TIV 2025 sebanyak 0.5 peratus kepada 820,752 unit.
  • Permintaan domestik kukuh, pemulihan eksport dan pembiayaan lebih kondusif menyokong prestasi.
  • Kadar OPR stabil 2.75% dan pengangguran rendah 2.9% menyumbang kepada persekitaran kondusif.
  • Peningkatan pegangan pasaran jenama nasional kepada 62.3% dan pelancaran BEV baharu menyokong jualan.

Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA) Mohd Shamsor Mohd Zain memaklumkan, prestasi itu disokong antaranya permintaan domestik yang kekal kukuh, pemulihan eksport serta persekitaran pembiayaan yang lebih kondusif, selain kadar pengangguran yang rendah.

“Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang lebih stabil pada paras 2.75 peratus turut membantu mewujudkan persekitaran yang kondusif kepada industri automotif.

“Pada masa sama, persekitaran sosio-politik yang stabil juga baik untuk perniagaan, selain pasaran pekerjaan turut menyokong dengan kadar pengangguran dilaporkan pada 2.9 peratus,” katanya dalam sidang media mengenai Prestasi Jualan dan Pengeluaran Kenderaan Motor Baharu bagi Tahun 2025 di ibu negara.

Tambahnya, jumlah tempahan tertunggak khususnya bagi segmen A meningkatkan pegangan pasaran jenama nasional kepada 62.3 peratus daripada TIV.

Selain itu, pelancaran model kenderaan elektrik bateri (BEV) baharu serta kempen promosi agresif pengeluar dan pengedar khususnya pada suku keempat 2025 turut menyokong prestasi tersebut.

Pada tahun ini, MAA mengunjurkan TIV sebanyak 790,00 unit, disokong oleh beberapa faktor termasuk permintaan kukuh terhadap kenderaan mampu milik, perkembangan ekosistem EV dan strategi promosi oleh pengeluar dan pengedar.