Tiada keperluan pakej rangsangan besar, pendekatan bersasar lebih sesuai

Gabenor Bank Negara, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour

KUALA LUMPUR, 31 Mac – Tiada keperluan untuk melaksanakan pakej rangsangan berskala besar ketika ini, walaupun berdepan ketidaktentuan susulan konflik di Asia Barat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pendekatan rangsangan perlu lebih bersasar, mengambil kira keadaan keseluruhan dan kesihatan ekonomi negara yang berdaya tahan.
  • Pelbagai sokongan fiskal dan bantuan perbankan pasca pandemik telah dilaksanakan secara berfokus.
  • Institusi perbankan sedia membantu peminjam termasuk syarikat korporat dan PKS jika menghadapi tekanan kewangan.
  • Kerajaan menggunakan maklum balas daripada MTEN untuk mengenal pasti pihak paling terkesan dan menyalurkan bantuan lebih tepat.

Menurut Gabenor Bank Negara (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour, pendekatan yang diambil perlu bersifat lebih bersasar, dengan mengambil kira keseluruhan keadaan serta tahap kesihatan ekonomi negara yang masih kekal berdaya tahan.

Malaysia memulakan tahun ini pada kedudukan yang kukuh selepas melalui beberapa krisis termasuk pandemik COVID-19, dengan pelbagai bentuk sokongan fiskal kerajaan dan bantuan perbankan telah dilaksanakan secara berfokus.

“Kita perlu menilai impak dari semasa ke semasa seiring dengan situasi konflik. Dari segi pakej rangsangan, kita perlu mengambil maklum bahawa negara telah keluar daripada beberapa krisis, khususnya yang terbaharu iaitu pandemik Covid-19.

”Ketika tempoh pasca pandemik, pelbagai bentuk sokongan telah dilaksanakan, termasuk sokongan fiskal kerajaan dan bantuan daripada institusi perbankan, dan semua ini masih kekal dengan kesemua langkah tersebut dilaksanakan secara bersasar,” katanya pada taklimat media sempena penerbitan Laporan Tahunan 2025 (LT 2025), Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2025 (TEM 2025) dan Tinjauan Kestabilan Kewangan bagi Separuh Kedua Tahun 2025 (TKK ST2 2025) di sini, hari ini.

Tambahnya, institusi perbankan kekal bersedia membantu peminjam termasuk syarikat korporat dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sekiranya berdepan tekanan kewangan.

Pada masa sama, kerajaan terus mendapatkan maklum balas pelbagai sektor melalui mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) bagi mengenal pasti pihak yang paling terkesan sebelum menyalurkan bantuan secara lebih tepat dan berkesan.