
KUALA LUMPUR, 12 April – Indeks utama Bursa Malaysia dijangka melepasi paras psikologi 1,700 pada minggu depan, didorong oleh sentimen lebih kukuh selain harga minyak lebih stabil.
- Momentum luaran dan pengurangan ketidaktentuan meningkatkan keyakinan pelabur.
- Pelabur asing kembali menjadi pembeli bersih, menunjukkan penglibatan semula dan peruntukan semula modal.
- Stabilnya niaga hadapan minyak Brent membantu mengurangkan tekanan inflasi dalam jangka dekat.
- Kenaikan berterusan ekuiti AS tujuh sesi dijangka limpah ke pasaran membangun, memulihkan minat risiko global.
Pengarah Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan berkata faktor pendorong lain adalah momentum luaran serta situasi ketidaktentuan yang makin reda selain aliran masuk dana asing.
Pengarah Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata kedudukan pelabur kini lebih konstruktif ketika risiko konflik Amerika Syarikat (AS)-Iran diteliti semula dengan niaga hadapan minyak mentah Brent lebih stabil di bawah US$100 setong sejak Rabu.
Keadaan itu, katanya membantu dari segi inflasi bagi tempoh terdekat serta mengurangkan impak susulan.
Beliau berkata aliran peningkatan berterusan ekuiti AS bagi tujuh sesi berturut-turut dijangka memberi kesan limpahan ke pasaran pesat membangun, menunjukkan momentum berterusan, bukan pemulihan semula sementara.
Senario itu sekali gus memberi isyarat kepada penambahbaikan asas ekonomi serta pemulihan minat risiko di peringkat global.
Mohd Sedek berkata pelabur asing juga telah beralih sebagai pembeli bersih di Bursa Malaysia setakat Khamis lepas dengan aliran masuk bagi tempoh Selasa hingga Khamis turut menunjukkan penglibatan semula yang awal namun ketara dalam ekuiti Malaysia.
“Perubahan ini berlaku selepas aliran keluar dana asing yang berterusan dan menunjukkan dana global mula meneliti semula kedudukan masing-masing apabila risiko luaran dilihat makin stabil.
“Senario yang menyaksikan penyertaan semula pelabur asing ini penting berikutan pengaruh besar terhadap mudah tunai pasaran dan hala tuju indeks selain menandakan peringkat awal peruntukan semula lebih meluas dalam pasaran sedang pesat membangun, termasuk Malaysia,” katanya.
Bagi minggu baru berakhir, Bursa Malaysia menyaksikan dagangan dalam julat kecil yang menjejaki prestasi pasaran serantau di tengah-tengah konflik Asia Barat.
Selain itu bagi perbandingan Jumaat hingga Jumaat, FBM KLCI susut 4.19 mata kepada 1,691.31 daripada 1,695.50 minggu lepas.
Jumlah dagangan mingguan berkurangan kepada 15.14 bilion unit bernilai RM14.39 bilion daripada 17.79 bilion unit bernilai RM18.83 bilion, seminggu sebelumnya.