KUALA LUMPUR, 11 November -Sektor perkhidmatan negara terus menunjukkan prestasi kukuh apabila mencatat pertumbuhan 6.3 peratus tahun ke tahun pada suku ketiga 2025, dengan nilai hasil mencecah RM657.7 bilion.
- Pertumbuhan sektor perkhidmatan kukuh disokong aktiviti perniagaan rancak dan prestasi positif semua segmen utama.
- Segmen perdagangan borong, runcit, penginapan serta makanan dan minuman catat peningkatan hasil tertinggi.
- Perjalanan domestik, perbelanjaan pengguna (SARA) dan pelawat antarabangsa menyumbang kepada pertumbuhan.
- Tenaga kerja sektor perkhidmatan meningkat, dipacu pengangkutan, penyimpanan serta perdagangan borong dan runcit.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan itu disokong oleh aktiviti perniagaan yang rancak serta prestasi positif dalam semua segmen utama sektor tersebut.
“Segmen perdagangan borong dan runcit, penginapan serta makanan dan minuman merekodkan pertumbuhan tahunan 5.8 peratus dengan jumlah hasil sebanyak RM496.8 bilion, peningkatan tertinggi berbanding dua suku sebelumnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, pertumbuhan ini turut digerakkan oleh peningkatan perjalanan domestik, perbelanjaan pengguna yang kukuh hasil pelaksanaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), serta kemasukan pelawat antarabangsa yang lebih tinggi.
Segmen maklumat dan komunikasi serta pengangkutan dan penyimpanan pula merekodkan pertumbuhan tahunan 6.4 peratus dengan hasil berjumlah RM91 bilion.
“Segmen profesional, hartanah dan perkhidmatan pentadbiran serta sokongan mencatat pertumbuhan tahunan tertinggi, sebanyak 8.8 peratus bagi tempoh sama.
Pendapatan e-dagang pada suku ketiga turut meningkat 1.3 peratus tahun ke tahun kepada RM312.6 bilion, disumbang terutamanya oleh sektor perkhidmatan dan pembuatan,” jelasnya.
Beliau turut menambah, jumlah tenaga kerja sektor perkhidmatan meningkat 2.4 peratus kepada 4.6 juta orang.
Ia dipacu oleh subsektor pengangkutan dan penyimpanan, diikuti perdagangan borong dan runcit.