
KUALA LUMPUR, 9 Januari – Sektor pembuatan mencatatkan jualan RM169.4 bilion pada November tahun lalu, berkembang 4.6 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
- Pertumbuhan jualan bulanan lebih rendah daripada Oktober 2025, menunjukkan perlambatan momentum sektor pembuatan.
- Subsektor peralatan elektrik dan elektronik menyumbang kenaikan utama dengan pertumbuhan dua digit.
- Industri berorientasikan eksport, 70.7% daripada jualan, terus berkembang tetapi pada kadar lebih perlahan.
- Industri berorientasikan domestik juga berkembang, dipacu oleh pemprosesan makanan dan pembuatan logam asas.
- Pekerjaan meningkat kepada 2.4 juta, dengan gaji dan upah keseluruhan serta purata gaji turut naik.
DOSM dalam kenyataan hari ini memaklumkan prestasi itu lebih rendah berbanding pertumbuhan 6.3 peratus yang direkodkan pada Oktober 2025.
Manakala perbandingan bulan ke bulan menunjukkan nilai jualan menyusut 1.3 peratus daripada RM171.6 bilion.
Ketua Perangkawan Malaysia, Mohd Uzir Mahidin, berkata peningkatan nilai jualan sektor pembuatan pada November 2025 didorong terutamanya oleh subsektor peralatan elektrik dan elektronik yang berkembang 10.8 peratus.
“Pertumbuhan ini turut disokong oleh subsektor makanan, minuman dan tembakau yang meningkat 7.7 peratus serta produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka, berkembang 3.4 peratus,” katanya.
Menurut DOSM, industri berorientasikan eksport yang mewakili 70.7 peratus daripada jumlah jualan sektor pembuatan mencatatkan pertumbuhan 4.6 peratus pada November 2025 berbanding 6.9 peratus pada bulan sebelumnya.
Faktor itu dipengaruhi peningkatan dalam pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal sebanyak 11.1 peratus.
“Pembuatan kelengkapan elektrik turut meningkat 10.8 peratus manakala pembuatan minyak dan lemak daripada sayuran dan haiwan berkembang 6.5 peratus,” katanya.
Tambah beliau, perbandingan bulan ke bulan industri berorientasikan eksport menyusut kepada 2.9 peratus.
Dalam pada itu, industri berorientasikan domestik berkembang 4.6 peratus pada November 2025 selepas merekodkan pertumbuhan 4.8 peratus pada Oktober, disokong oleh peningkatan kukuh dalam pembuatan produk pemprosesan makanan sebanyak 8.9 peratus.
Subsektor lain yang menyokong prestasi industri domestik ialah pembuatan logam asas (4.5 peratus) serta pembuatan produk logam, kecuali mesin dan kelengkapan (4.1 peratus), manakala perbandingan bulan ke bulan menunjukkan pertumbuhan 2.8 peratus.
Mengulas mengenai guna tenaga, Mohd Uzir berkata seramai 2.4 juta orang bekerja dalam sektor pembuatan pada November 2025, meningkat 0.8 peratus berbanding setahun lalu, namun susut 0.2 peratus berbanding bulan sebelumnya.
“Gaji dan upah yang dibayar dalam sektor ini berjumlah RM8.46 bilion pada November 2025, meningkat 1.9 peratus tahun ke tahun, manakala purata gaji dan upah setiap pekerja adalah RM3,492,” katanya.
Bagi tempoh Januari hingga November 2025, sektor pembuatan merekodkan jualan kumulatif RM1.8 trilion, berkembang 4.0 peratus berbanding tempoh sama tahun 2024, dengan bilangan pekerja meningkat kepada 2.4 juta orang dan jumlah gaji serta upah mencecah RM92.1 bilion.