RTS Link: Johor disaran perhalus strategi tangani aliran keluar tenaga mahir

RTS Link bakal meningkatkan mobiliti pekerja rentas sempadan

JOHOR BAHRU, 12 April – Kerajaan Negeri Johor perlu memperhalus strategi ekonomi rentas sempadan serta memperkukuh kejelasan dasar bagi menangani cabaran aliran keluar tenaga kerja mahir menjelang pengoperasian perkhidmatan Sistem Transit Rapid (RTS) Link pada awal tahun depan.

RINGKASAN BERITA AI
  • RTS Link meningkatkan mobiliti rentas sempadan dan boleh mempercepat aliran keluar tenaga mahir ke Singapura.
  • Johor perlu menilai semula gaji permulaan sekitar RM4,000 hingga RM5,000 dan mempertimbangkan insentif tambahan.
  • Cadangan insentif cukai lebih rendah atau pengecualian sementara untuk pekerja berkemahiran tinggi di JS-SEZ.
  • Percepat kelulusan utiliti dan tangani kos hartanah, ketidaktentuan dasar serta kekurangan tenaga mahir supaya tarikan pelaburan meningkat.

Pengerusi Eksekutif Pejabat Ekonomi, Pelancongan dan Budaya Johor di Singapura (JETCO) Datuk Seri Hasni Mohammad berkata kemudahan RTS Link yang menghubungkan Johor Bahru dengan Singapura, bakal meningkatkan mobiliti pekerja rentas sempadan, sekali gus dijangka mempercepatkan fenomena aliran keluar tenaga mahir itu dari Johor ke Singapura.

“Kalau dulu pekerja-pekerja ini bangun 4 pagi dan perlu berdepan kesesakan merentasi Tambak Johor sama ada naik bas atau motosikal, namun dengan RTS Link, pergerakan menjadi lebih mudah dan ini boleh mendorong lebih ramai tenaga mahir memilih untuk bekerja di Singapura,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata isu itu turut dibincangkan dalam mesyuarat JETCO di Singapura melibatkan wakil kedutaan, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Pada masa ini, kira-kira 400,000 rakyat Malaysia berulang-alik menyeberangi Tambak Johor setiap hari untuk bekerja di republik itu.

Projek RTS Link yang dijangka beroperasi Januari 2027 dan mampu membawa sehingga 10,000 penumpang setiap jam bagi setiap hala dengan menghubungkan Bukit Chagar di Johor dan Woodlands North di Singapura dalam masa lima minit.

Selain itu, Datuk Seri Hasni yang juga Penasihat Ekonomi dan Pelaburan Johor berkata kerajaan negeri itu juga perlu menilai semula daya tarikan gaji permulaan sekitar RM4,000 hingga RM5,000 Johor selain mempertimbang insentif tambahan bagi mengekalkan kalangan bakat tempatan.

Beliau juga mencadangkan insentif seperti kadar cukai lebih rendah atau pengecualian cukai sementara bagi pekerja berkemahiran tinggi di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) bagi meningkatkan kuasa beli dan daya saing tenaga kerja tempatan.

Dalam pada itu, Datuk Seri Hasni menekankan kepentingan mempercepatkan proses kelulusan kemudahan bagi projek pelaburan yang disifatkan mengambil masa dua hingga tiga bulan bagi permohonan utitili yang menimbulkan ketidakpastian dalam kalangan pelabur.

“Nak dapatkan kelulusan bekalan utiliti seperti air dan elektrik pun ambil masa dan melambatkan proses maka pelabur akan persoal ada tak kaedah (lain) untuk percepatkan proses,” katanya.

Beliau berkata peningkatan kos hartanah, ketidaktentuan dasar seperti kemungkinan perubahan gaji minimum serta kekurangan tenaga kerja mahir juga menjadi kebimbangan pelabur asing.

Aspek lain seperti keperluan menilai semula kerjasama dua hala antara Malaysia dengan Singapura juga penting bagi memastikan manfaat pelaburan lebih seimbang, khususnya dalam menarik pelaburan bernilai tinggi ke Johor.

“Johor tidak seharusnya hanya menjadi destinasi bagi aktiviti bernilai rendah, sebaliknya perlu fokus kepada sektor berimpak tinggi,” katanya. -BERNAMA