Ringgit dijangka kekal dalam trend pengukuhan – Penganalisis

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 26 Januari – Ringgit mengakhiri urus niaga hari ini lebih kukuh pada RM3.96 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), paras tertinggi baharu sejak merekodkan paras sama pada 22 Mei, 2018.

RINGKASAN BERITA AI
  • Purata jangka panjang ringgit sekitar RM3.82 dijadikan kayu ukur untuk arah aliran masa depan.
  • Pengukuhan disokong prospek ekonomi Malaysia positif selepas mesyuarat MPC Bank Negara.
  • Kelemahan yen global dan campur tangan Jepun melemahkan dolar AS menyokong ringgit.
  • Pengukuhan memberi manfaat kepada import, margin keuntungan, pelajar luar negara dan pelancong.

Ketua ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, terdapat ruang yang jelas untuk peningkatan selanjutnya bagi unit tempatan itu, berdasarkan purata kadar pertukaran ringgit dan dolar AS.

Jelasnya, sejak pemansuhan dasar tambatan pada 21 Julai 2005 sehingga kini, purata nilai ringgit berada pada sekitar RM3.82 sen.

”Secara keseluruhan saya melihat pergerakan mata wang ringgit buat masa ini masih berada dalam jajaran positif memandangkan purata jangka panjang berada pada sekitar RM3.82.

”Jadi kita boleh anggap ia sebagai kayu ukur untuk melihat hala tuju dan mungkin nilai yang sesuai bagi mata wang ringgit untuk bergerak pada masa akan datang,” katanya kepada RTM.

Tambahnya, pergerakan mata wang tempatan disokong oleh prospek ekonomi Malaysia yang positif terutamanya selepas mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia baru-baru ini.

Manakala, di peringkat global sentimen pasaran tertumpu kepada kelemahan yen yang menuntut campur tangan secara langsung kerajaan Jepun dalam pasaran mata wang pertukaran asing.

Tekanan terhadap yen yang meningkat menjelang pilihanraya pada 8 februari itu turut mendorong dolar AS kian melemah.

Sementara itu katanya pengukuhan ringgit ketika ini tentunya memberi manfaat kepada sektor import dan peningkatan dalam margin keuntungan.

”Selain itu, rakyat Malaysia yang mempunyai anak yang melanjutkan pelajaran di luar negara sudah pasti akan mengalami satu bentuk penjimatan dari segi kos pembiayaan atau kos pendidikan.

”Mereka yang melancong ke luar negara seperti menunaikan umrah dan sebagainya juga akan mengalami satu bentuk penjimatan menerusi pengukuhan nilai ringgit ketika ini,” jelasnya.

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan