
KUALA LUMPUR, 20 Januari – Ringgit dijangka diniagakan dalam julat RM4.00 hingga RM4.20 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada 2026, disokong oleh penambahbaikan akaun semasa negara, khususnya imbangan perkhidmatan yang mencatat lebihan buat pertama kali dalam tempoh 14 tahun.
- Ringgit dijangka diniagakan antara RM4.00 hingga RM4.20 pada 2026 disokong oleh penambahbaikan akaun semasa negara.
- Peningkatan imbangan pelancongan bersih dan pembaikan perkhidmatan pembinaan menyumbang kepada pengukuhan ringgit.
- Pengukuhan ke paras sekitar RM4.00 bergantung kepada dolar AS lemah dan pemotongan kadar faedah Fed melebihi jangkaan.
- Risiko termasuk aliran keluar portfolio global dan kekuatan berterusan dolar AS yang mengehadkan pengukuhan mata wang.
Ini terutamanya didorong oleh peningkatan imbangan pelancongan bersih serta penambahbaikan ketara dalam perkhidmatan pembinaan.
Ahli Ekonomi Standard Chartered Global Research, Jonathan Koh, berkata mata wang tempatan juga berpotensi mengukuh menghampiri paras bawah RM4.00 sekiranya inflasi terus menunjukkan trend penurunan.
”Untuk melihat ringgit mengukuh ke paras sekitar RM4.00, ia memerlukan dolar menjadi lebih lemah dan ini bergantung kepada jangkaan pasaran terhadap pemotongan kadar faedah Rizab Persekutuan AS (Fed) melebihi pengurangan dua kali yang dijangkakan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media Tinjauan Global dan Malaysia Standard Chartered untuk Separuh Pertama 2026 di sini hari ini.
Menurutnya, ringgit berada dalam kedudukan yang positif susulan penambahbaikan struktur akaun luaran Malaysia.
Bagaimanapun, potensi pengukuhan mata wang itu masih dihadkan oleh aliran keluar portfolio global serta kekuatan berterusan dolar AS.